Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PRK Pelangai: 53 peratus keluar mengundi setakat jam 1 petang | Scoop

PRK Pelangai: 53 peratus keluar mengundi setakat jam 1 petang

SPR mensasarkan peratusan keluar mengundi pada PRK Pelangai sebanyak 70 peratus

2:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kira-kira 53 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sudah menunaikan tanggungjawab mereka setakat jam 1 petang tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, kesemua sembilan pusat mengundi dengan 30 saluran dibuka pada jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 16,383 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu hari ini.

Jumlah keseluruhan pengundi di DUN itu ialah seramai 16,456, dengan SPR mengeluarkan 73 kertas undi pos termasuk kepada 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagaimanapun, PRK DUN Pelangai menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 3 Oktober lalu.

Dalam pada itu, semakan di laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca cerah di daerah Bentong pada sebelah pagi dan malam, manakala ribut petir di satu dua tempat pada waktu petang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika ditemui media di SMK (LKTP) Felda Chemomoi hari ini menjelaskan, pihaknya mensasarkan peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Pelangai sebanyak 70 peratus.

PRK DUN Pelangai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Pilihan raya itu diadakan selepas penyandang kerusi berkenaan diisytihar kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Allahyarham Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi). – 7 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Related