KUALA LUMPUR – Selepas masalah tandas rosak di sekolah diselesaikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu sama di masjid seluruh negara ditangani mulai tahun depan.
Perdana Menteri berkata, masalah kerosakan tandas di sekolah dan masjid sangat penting untuk diatasi, bagi menggambarkan ia sejajar dengan kemajuan dan pencapaian semasa diraih negara, terutama dalam sektor pembangunan.
Katanya, komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan isu tandas rosak adalah bagi memastikan semua perkara yang menjadi masalah rakyat pelbagai peringkat diselesaikan sebaiknya.
“Selesaikan dulu tandas anak kita, jadi alhamdulillah sekarang bulan September dan sebelum awal oktober ini, semua tandas di semua sekolah, sekolah kebangsaan, sekolah arab, sekolah cina, sekolah tamil selesai kita baiki alhamdulillah.
“Mungkin tahun depan saya nak tengok semua tandas masjid (rosak) pula (dibaiki),” katanya menerusi petikan video berdurasi 1 minit 32 saat dimuatnaik di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Madani berhubung topik ‘kenapa saya (Perdana Menteri) fokus baiki tandas sekolah’.
Anwar menegaskan, fokus diberikan kerajaannya untuk menyelesaikan masalah tandas rosak di sekolah juga adalah bagi memastikan infrastruktur di institusi pendidikan itu selaras pembangunan dan pencapaian baik Malaysia.
Jelasnya, dengan pelbagai polisi dasar hebat dimiliki negara, isu tandas rosak tidak sewajarnya berlaku atau dibiarkan.
“Semua pernah pergi sekolah tapi sekolah yang mereka belajar dulu ada je (sahaja) tandas rosak, ada lapan tandas empat rosak, ada empat tandas tiga rosak, tak ada hampir tidak ada sekolah yang tak rosak tandas dia, tapi negara hebat, negara maju, macam-macam polisi dasar ada.
“Jadi saya kata macam ini lah, sebelum kita bincang dasar besar-besar, selesaikan tandas anak-anak kita. Kita duk (asyik) kira bangunan mercu tanda tinggi, jambatan paling panjang, nak kita yang hebat-hebat semua, tandas anak kita belajar pun tak terurus, jadi kita mula begitu,” katanya.
Pada Jun lalu, Anwar dilaporkan berkata, masih banyak tandas sekolah di seluruh negara dalam keadaan rosak sejak puluhan tahun, tanpa sebarang tindakan sewajarnya dilaksanakan.
Maklumat itu, katanya, diperoleh selepas pihaknya mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, supaya memeriksa keadaan tandas di sekolah di seluruh negara bagi memastikan murid mendapat kemudahan selesa.
Sementara itu, menerusi ruangan komen, warga maya menyambut baik, memuji dan menghargai komitmen Perdana Menteri berhubung usaha Kerajaan Perpaduan ditadbirnya dalam ‘memperjuangkan’ isu tandas rosak.
“Betul sekali apa yang DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cakapkan,” kata Teh.
“Terbaik DSAI, syukur ada PM (Perdana Menteri) macam datuk seri, sangat alert dengan benda-benda begini, itu sebab saya sokong perjuangan DSAI,” luah seorang pengguna.
“Alhamdulillah semoga anak-anak semua dapat belajar dengan lebih selesa, syukur bila bayangkan anak-anak dapat tandas yang lebih selesa dan bersih, jaga diri ya anak-anak,” tulis Farah.
“Terima kasih PM ambil berat masalah rakyat,” ujar Jamil. – 4 Oktober, 2023