KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan PAS bahawa kehadiran luar biasa polis ketika beberapa kempen parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, menggambarkan situasi tidak sihat terhadap amalan demokrasi negara.
Sebaliknya, beliau berkata, tugas polis di setiap kempen dianjurkan parti politik adalah demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
“Kehadiran polis dalam bentuk omnipresence (kehadiran beramai-ramai) penting selepas mereka menilai suatu keberadaan.
“Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Jadi, asal sahaja pihak terlibat yang ambil bahagian dalam pilihan raya tidak membangkitkan sentimen sensitif, tidak api-apikan semangat yang boleh menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat, (maka tiada isu),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani Bandar Tun Razak di sini, hari ini.
Saifuddin menegaskan, polis sentiasa bersikap profesional sebagai agensi penguatkuasaan terbesar negara, malah orang ramai tidak perlu risau dengan kehadiran pihak berkuasa.
Malah, beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dan harus mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen di DUN Pelangai.
“Paling penting adalah peluang setiap parti mendekati rakyat yang juga pengundi di kawasan itu tidak terhalang dan tugas polis adalah menjaga keselamatan.
“Buat masa sekarang, tiada laporan mana-mana parti dihalang untuk mendekati rakyat, namun aduan polis hadir beri kawalan keselamatan (ada). Itu kita (KDN) dapat dan agak pelik sikit,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen dianjurkan parti itu pada PRK DUN Pelangai, menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokongnya.
Ahli Parlimen Kota Bahru itu dilaporkan berkata, tindakan terbabit juga boleh memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa bersikap lebih rasional dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.
PRK DUN Pelangai menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. – 1 Oktober, 2023