KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar dilantik sebagai pemangku pengarah jabatan berkenaan, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Mohd Nasri adalah bagi menggantikan Datuk Seri Mat Kasim Karim yang berpencen wajib esok.
Majlis serah terima tugas Pengarah JSPT disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Ayob Khan dalam ucapannya berkata, berbekalkan ilmu serta pengalaman luas dimilikinya, Mohd Nasri diyakini mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan dengan sempurna.
Mat Kasim menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1988 sebagai Inspektor Percubaan dan berkhidmat selama lebih 35 tahun.
Antara jawatan pernah disandangnya adalah Ketua Unit Databank/DNA; Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat) di Jabatan Logistik dan Teknologi; Ketua Polis Melaka serta Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman. – 29 September, 2023