KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan berfikir terlebih dahulu berkait sebarang keperluan untuk melaksanakan rombakan Kabinet.
“Reshuffle (rombakan) nanti saya fikir dulu” katanya secara ringkas sebelum berlalu meninggalkan media yang menunggu selepas beliau merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia 2023 di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kemungkinan berlaku penyusunan semula Kabinet dalam masa terdekat, dengan beberapa menteri diramal akan digugurkan.
Malah, dakwaan rombakan berkenaan juga hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada 7 Oktober ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini tidak membincangkan rombakan Kabinet.
Pada 15 September lalu, Anwar dilaporkan berkata, kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan diisi secepat mungkin.
Jawatan itu kini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu. – 27 September, 2023