Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Jalankan projek rintis dahulu, uji keberkesanan kaedah agihan subsidi bersasar: Penganalisis | Scoop

Jalankan projek rintis dahulu, uji keberkesanan kaedah agihan subsidi bersasar: Penganalisis

Penganalisis ekonomi berpendapat beberapa kawasan dalam negara boleh dipilih bagi melaksanakan projek rintis terbabit

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Projek rintis bagi menilai keberkesanan kaedah terbaik agihan subsidi bersasar wajar dijalankan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan pada skala lebih besar program itu yang dijangka bermula Januari tahun depan.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Prof Madya Mohd Yusof Saari berkata, beberapa kawasan dalam negara boleh dipilih bagi melaksanakan projek rintis terbabit.

Prof Dr Yusof Saari berpendapat rintis akan memberi maklum balas keberkesanan kaedah perlaksanaan tersebut sebelum dilaksanakan pada skala besar. – Gambar Bernama, 27 September, 2023

Beliau berpendapat, projek rintis itu penting bagi melihat keberkesanan agihan subsidi berdasarkan beberapa kaedah cadangan termasuk penggunaan kad khusus seperti MyKad ataupun aplikasi MySejahtera.

“Pada pandangan saya, dalam apa-apa kaedah pelaksanaan subsidi bersasar, kaedah tersebut perlu dijalankan projek rintis bagi beberapa kawasan.

“Pelaksanaan rintis ini akan memberi maklum balas keberkesanan kaedah pelaksanaan tersebut dan apakah penambahbaikan yang diperlukan sebelum ianya dilaksanakan secara berskala besar,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, dalam mengenalpasti kumpulan sasar, kerajaan juga dijangka menggunakan pangkalan data Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) sebagai asas dalam menentukan individu yang layak dan tidak layak mendapat subsidi.

Projek rintis penting bagi melihat keberkesanan agihan subsidi berdasarkan beberapa kaedah cadangan termasuk penggunaan kad khusus seperti MyKad ataupun aplikasi MySejahtera. – Gambar Bernama, 27 September, 2023

“Mengenalpasti kumpulan sasar adalah penting bagi memastikan kumpulan itu tidak terkesan akibat daripada inisiatif rasionalisasi subsidi pada masa hadapan.

“Contohnya, apabila subsidi bahan api dinaikkan, harga bahan api itu sendiri serta produk dan perkhidmatan yang menggunakan bahan api akan mengalami peningkatan.

“Peningkatan harga ini mengakibatkan peningkatan kos sara hidup dan ini perlu diimbangi dengan bantuan subsidi bersasar kepada kumpulan yang terkesan akibat rasionalisasi subsidi,” katanya.

Tambah beliau, mengenalpasti kumpulan sasar juga tugas paling mencabar kerana dinamika pergerakan turun naik ekonomi.

“Contohnya, bulan ini mungkin seseorang kehilangan pekerjaan dan sepatutnya pangkalan data dapat mencerap dirinya bagi mendapatkan bantuan.

“Kalau data tersebut tidak bergerak seiring dengan dinamika ekonomi, individu tersebut dinafikan haknya untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya lagi, begitu juga bagi seseorang individu yang mungkin mendapat bantuan sejak beberapa bulan dahulu kerana ketiadaan pekerjaan.

“Tetapi pada bulan ini dia kembali mendapat pekerjaan dan pendapatan yang secukupnya.

“Maka dalam kes ini, sistem pangkalan data perlu memberi makluman bahawa individu tersebut tidak perlu mendapat subsidi lagi,” katanya.

Wajah terkini aplikasi MySejahtera. – Gambar Scoop, 27 September, 2023

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim berkata, kerajaan sedang meneliti pelbagai mekanisme bagi pelaksanaan subsidi bersasar termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, sebuah pasukan khas bawah kementeriannya sedang meneliti beberapa mekanisme bagi memastikan penerima layak tidak tercicir.

Minggu lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sistem Padu yang kini siap 60 peratus akan memastikan agihan subsidi bersasar lebih adil dan meminimumkan kumpulan berisiko tercicir berlaku.

Pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan Padu untuk menggabungkan maklumat sosio ekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

Data sistem Padu dibangunkan merangkumi pangkalan data daripada kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dan badan berkanun melalui perjanjian perkongsian data sedia ada.

Malah apabila Akta Omnibus diluluskan di Parlimen nanti, ia akan mengambil alih tata kelola perkongsian data sistem berkenaan dan menggantikan perjanjian itu. – 27 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related