KUALA LUMPUR – Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman telah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang baharu pada Mesyuarat Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 pada Isnin.
MK Ibrahim, 67, telah mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Setiausaha DUN, Mohd Amin Ludin di Wisma Negeri di sini.
Mohd Amin sebelum itu memaklumkan terdapat dua nama yang dicadangkan sebagai speaker namun salah satu daripadanya telah ditolak kerana tidak memenuhi kriteria Peraturan 2 Perintah 7(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Seramai 34 wakil rakyat termasuk lima dari Perikatan Nasional (PN) telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Negeri Sembilan bagi penggal ke-15.
Bagaimanapun Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Adun Chennah Anthony Loke Siew Fook tidak hadir berikutan urusan rasmi lain. – 26 September, 2023