KUALA LUMPUR – PAS sentiasa terbuka malah sesiapa pun boleh dicalonkan menduduki jawatan tertinggi parti termasuk Presiden dan Timbalan pada pemilihan Muktamar Tahunan Ke-69 parti Islam itu bulan depan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam PAS, pemilihan parti tidak menjadi keutamaan atau perebutan, kerana semua memahami ia adalah suatu amanah bukannya Ghanimah (harta rampasan).
“Apa yang lebih utama adalah PAS bergerak secara kolektif, jawatan hanya penyusunan organisasi, semua diputus melalui Majlis Syura.
“Selain daripada jawatan yang dipertandingkan, ada beberapa jawatan melalui lantikan termasuk Pesuruhjaya negeri,” katanya kepada Scoop.
Selepas 10 tahun, Muktamar Tahunan PAS akan kembali diadakan di Shah Alam, Selangor pada 20 hingga 22 Oktober depan.
Kali terakhir parti itu mengadakan muktamar di Shah Alam adalah pada November 2013, bertempat di Stadium Malawati.
Dengan kerjasama PAS Selangor, muktamar kali ini akan berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) sebagai lokasi utama bersekali dengan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjangkakan tiada perubahan dalam barisan pimpinan parti itu pada pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-69 nanti.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dalam soal komponen Perikatan Nasional (PN) pula, kesepakatan untuk bekerja sebagai satu pasukan lebih menjadi keutamaan berbanding perebutan jawatan.
“Peranan PAS dalam PN masih tetap dilihat penting termasuk diberi tugas menerajui pilihan raya. Justeru tidak menjadi ‘dominan’ atau perlu bersaing, itu bukan masalah besar kerana kesepakatan lebih penting,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, muktamar yang akan datang dijangka memberi tumpuan utama terhadap usaha memperkasakan amanah di empat negeri ditadbir PAS dan penyusunan bagi memperkasakan parti.
“Isu lain yang akan turut diberi tumpuan ialah cabaran tekanan ekonomi semasa selain penyusunan isu tarbiyah,” katanya.
Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, beliau menjangkakan usaha parti itu ke arah mewujudkan perpaduan ummah akan diberi keutamaan dalam muktamar terbabit.
“Itu adalah keutamaan perjuangan kita dan sudah tentu ia akan terus diperkemaskan lagi. Kita akan teruskan sama ada Umno setuju atau tidak, itulah seruan kita.
“Sebelum ini kita lihat Tun Dr Mahathir Mohamad dengan PAS jadi pertembungan cukup hebat. PAS pun tidak senang dengan Dr Mahathir tapi akhir-akhir ini dia terima PAS dan akui perjuangan PAS, malah dicadang untuk dilantik penasihat (negeri SG4).
“Itu tandanya kita hendak kepada perpaduan ummah. Tidak kira siapa, bukan saja orang Islam, orang bukan Islam pun kalau dia sanggup bersama kita, kita sedia terima contohnya seperti Gerakan,” katanya.
Selain itu, veteran PAS itu turut menegaskan pertandingan merebut jawatan bukan keutamaan dalam parti dan tidak menjadi isu.
“Semua jawatan boleh ditandingi, kita buka, itu dasar PAS. Kita tak macam parti lain, tak berebut jawatan, tapi dikehendaki oleh ahli parti kerana melihat kita mampu menggalasnya,” katanya. – 26 September, 2023