KUALA LUMPUR – Bagi mana-mana pemilik jenama restoran tempatan, salah satu impian mereka pasti mahu melebarkan sayap ke negara luar.
Demikian juga harapan pengusaha jenama terkenal Sadam Nasi Kandar yang teruja apabila terdapat permintaan untuk mengembangkan operasi di di Dubai.
Menurut generasi ketiga yang menguruskan restoran tersebut, Mohamed Khan Sulaiman, 31, setakat ini Sadam yang telah hampir 40 tahun beroperasi, sudah mempunyai 12 cawangan di Lembah Klang.
“Sekarang ini pun kami sudah mula dapat permintaan untuk buka di Johor, Putrajaya malah ada juga suruh buka di Dubai! Ini merupakan permintaan daripada peminat Sadam Nasi Kandar yang merantau bekerja di sana.
“Pihak kami berkemungkinan akan mempertimbangkan untuk buka di sana sekiranya mempunyai peluang nanti,” katanya kepada Scoop.
Sadam Nasi Kandar merupakan salah satu daripada 10 jenama menyertai Nasi Kandaq Fest yang berlangsung Sabtu dan Ahad ini di Sunway Putra Mall, bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Sementara itu, generasi ketujuh Restoran Hameediyah, Abdul Shukkor Syed Ibrahim, 27, berbangga apabila restoran terbabit dapat mengekalkan keaslian resipi yang dicipta dari zaman datuk moyangnya malah masih kekal bertahan sehingga ke hari ini.
“Hameediyah merupakan jenama nasi kandar paling lama di Malaysia, kami sudah beroperasi sejak 1907 dan saya serta abang merupakan generasi ketujuh mewarisi perniagaan turun-temurun keluarga.
“Kesemua rempah kami menggunakan resipi asli yang berasal sejak 116 tahun lalu. Proses penghasilan rempah ratus kami adalah 100 peratus air tangan sendiri dan tidak menggunakan rempah ‘ready made’.
Itu yang menjadi ‘senjata’ rahsia dalam menambat selera pelanggan kami yang masih kekal setia sehingga kini,” katanya.
Dalam pada itu, pengusaha Nasi Kandar LC (Line Clear) cawangan Kampung Baru, Zainul Alam Abdul Hamid, 45, berkata lauk kari kepala ikan menjadi antara hidangan ‘signature’ restoran mereka yang sentiasa mendapat sambutan.
“Rempah ratus yang kami gunakan memang guna resipi asal dari tahun 1949, tiada satu bahan pun yang kami ubah.
“Pelbagai resipi lama dan baharu yang kami perkenalkan dari masa ke semasa dan yang sentiasa mendapat sambutan pastinya ayam goreng bawang, telur sotong, lamb shank dan kari kepala ikan.. kalau makan pasti anda ‘pengsan’!
“Memang kami sentiasa akan cuba kekalkan originaliti Line Clear dan bagi saya joki memang sangat memainkan peranan yang penting, mereka perlu tahu kuantiti kari yang perlu diceduk supaya rasanya tidak lari bila sampai kepada pelanggan,” katanya.
Selain tiga jenama di atas, Nasi Kandaq Fest yang dianjurkan FriedChillies itu turut menghimpunkan tujuh lagi jenama popular di bawah satu bumbung iaitu Restoran Kudul Abdul, Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed), Sithique Nasi Kandar dan Restoran Yusuf. – 23 September,2023