Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Bukan hanya kombinasi kari, kemahiran ‘joki’ pengaruhi kesedapan nasi kandar | Scoop

Bukan hanya kombinasi kari, kemahiran ‘joki’ pengaruhi kesedapan nasi kandar

Sebanyak 10 jenama nasi kandar terbaik di Malaysia menyertai Nasi Kandaq Fest 2023 yang berlangsung selama dua hari di Sunway Putra Mall bermula hari ini hingga esok

3:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menghimpunkan sebanyak 10 jenama nasi kandar terbaik di Malaysia, Nasi Kandaq Fest 2023 yang berlangsung selama dua hari di Sunway Putra Mall bermula hari ini hingga esok, berjaya menarik perhatian penggemar tegar hidangan popular itu.

Penganjur Nasi Kandar Fest 2023, FriedChillies menjangkakan seramai 10,000 pengunjung bakal membanjiri lokasi festival tersebut sepanjang tempoh ia berlangsung.

Penganjur Nasi Kandar Fest 2023, FriedChillies menjangkakan seramai 10,000 pengunjung bakal membanjiri lokasi festival tersebut sepanjang tempoh ia berlangsung. – Gambar Scoop/Muharram Kasim, 23 September, 2023

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Adly Rizal, keunikan nasi kandar terletak pada kuantiti kuah diletakkan ‘joki’ (tukang penceduk kuah dan lauk-pauk) yang boleh diibaratkan seperti barista di kafe minuman.

“Seorang peminat kandar tegar akan tahu sepinggan nasi kandar yang sempurna bukan hanya terletak pada kombinasi kari, tetapi juga kemahiran seorang joki.

“Seorang joki nasi kandar ibarat barista di kafe. Inilah yang membezakan kedai nasi kandar daripada kedai mamak, kemahiran joki itu yang membawa kelainan,” katanya kepada Scoop.

Rindu akan kampung halaman terubat buat Mohd Fakharuddin Zainol Abidin dengan penganjuran Nasi Kandaq Fest 2023, kali ini. – Gambar Scoop/Muharram Kasim, 23 September,2023

Sementara itu, salah seorang pengunjung yang ditemui Scoop, Mohd Fakharuddin Zainol Abidin, 40, berkata, sebagai anak jati Pulau Pinang, dia sememangnya teruja menantikan festival tersebut.

“Saya memang dah lama tunggu festival seperti ini diadakan di sini. Saya berasal dari Bukit Mertajam tetapi menetap di Damansara.

“Sebulan sekali saya pasti akan pulang ke kampung, semata-mata untuk merasai keaslian nasi kandar di sana.

“Memandangkan dah ada festival minggu ini, jadi saya tak perlulah balik kampung bulan ini,” katanya dalam nada berseloroh.

Reviu di TikTok antara punca Fazwani Abdul Kadir semakin menggemari menu popular Pulau Pinang ini. – Gambar Scoop/Muharram Kasim, 23 September, 2023

Pada masa sama, nasi kandar turut menjadi salah satu sajian kegemaran Fazwani Abdul Kadir, 37, yang mengakui tidak begitu menggemari hidangan tersebut sebelum ini.

“Secara jujurnya, saya baharu nak berjinak-jinak dengan nasi kandar sebab selalu tengok orang buat reviu di TikTok. Dari situ saya macam berminat nak mencuba.

Persembahan sketsa oleh Achi Kelumbong and Friends yang sering muncul di media sosial Jumie TV menampilkan kisah-kisah keluarga menggunakan loghat “Tanjung”, Pulau Pinang – Gambar Scoop, 24 September, 2023

“Lepas saya cuba, ternyata memang sedap pilihan lauk-pauk yang disediakan. Paling penting campuran kuah disediakan joki membuatkan kita jadi lagi berselera dengan hidangan itu.

“Untuk hari ini, memang saya nak cuba nasi kandar yang memang original (asli) dari Pulau Pinang yang tidak ada lagi cawangan di Lembah Klang iaitu Nasi Kandar Bawah Pokok Jamal Mohamed,” katanya.

Haziqah Hanafi cukup menggemari keenakan nasi kandar yang unik kombinasinya. – Gambar Scoop/Muharram Kasim, 23 September, 2023

Haziqah Hanafi, 27, dari Kajang pula berkata, dia kagum melihat keunikan variasi makanan yang ada di negara ini, sekali gus mencerminkan sikap muhibah rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Saya sebenarnya teruja apabila tengok rakyat Malaysia berbilang kaum. Ada Melayu, Cina dan India yang sama-sama beratur untuk mendapatkan hidangan nasi kandar kegemaran mereka.

“Rahsia kesedapan nasi kandar, saya rasa mungkin disebabkan rempah ratus yang digunakan sesuai dengan tekak masyarakat tempatan.

“Ramai sukakan kuah pekat dan disebabkan itu ia menjadi antara makanan yang cukup popular di Malaysia,” katanya.

Nasi Kandar LC (Line Clear) Kampung Baru antara gerai yang menjadi tumpuan utama pengunjung ke Nasi Kandaq Fest 2023. – Gambar Scoop/Muharram Kasim, 23 September, 2023

10 jenama popular nasi kandar yang menyertai Nasi Kandar Fest 2023 itu ialah Nasi Kandar LC (Line Clear) Kampung Baru, Restoran Hameediyah, Saddam Nasi Kandar, Restoran Kudul Abdul dan Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed).

Turut serta ialah Sithique Nasi Kandar, Restoran Yusuf, Nasi Kandaq Talam Johor Bahru, Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam dan Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng. – 23 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related