KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus komited melaksanakan tanggungjawabnya untuk memantau tahap kebersihan premis makanan, bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan terjamin.
Menerusi kenyataannya, DBKL berkata, tindakan itu juga diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan kerana soal keselamatan dan kesihatan pelanggan tidak boleh dikompromi.
“Apahal DBKL menyibuk sangat ni? Masih cerita premis (makanan) tak bersih. Malam kelmarin DBKL meneruskan pemeriksaan kebersihan premis makanan. Kali ini di sepanjang jalan Radin Anum, Radin Tengah dan Radin Bagus, Bandar Baru Sri Petaling.
“DBKL terus komited meneruskan pemantauan kerana ini melibatkan soal keselamatan dan kesihatan warga kota selaku pelanggan,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya itu, sebanyak 19 daripada 31 premis makanan diperiksa dan dua sudah ditutup.
Penutupan itu, katanya, dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan 28(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016.
Selain itu, DBKL memaklumkan, sebanyak 34 kompaun dikeluarkan di bawah undang-undang kecil sama.
“Pelbagai kesalahan dikesan seperti tiada lesen petempatan makanan, tiada suntikan tifoid dan kursus pengendali makanan, lantai dinding dapur kotor, jubin rosak, bahan makanan ditempatkan di atas lantai, tidak memasang dan menyelenggara alat perangkap minyak, penyediaan makanan di atas lantai dan di luar premis serta hurungan makhluk perosak di petempatan makanan.
“Jadi DBKL nak ingatkan kepada pemilik premis makanan dan minuman, bukan setakat harga mahal je (sahaja) penyebab pelanggan lari, premis tak bersih pun antara penyebab utama,” katanya. – 22 September, 2023