Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Qazaf: NGO Islam minta Jawi siasat Radzi, Mubin sebut perkataan jelik terhadap Anwar | Scoop

Qazaf: NGO Islam minta Jawi siasat Radzi, Mubin sebut perkataan jelik terhadap Anwar

Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan menyatakan Qazaf bermaksud membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang

3:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat tindakan Naib Presiden Bersatu Datuk Radzi Jidin dan seorang lagi yang didakwa menyebut perkataan jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang termasuk dalam kesalahan jenayah qazaf.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Ahmad Farhan Rosli berkata tindakan itu tidak sewajarnya berlaku kerana kesalahan jenayah qazaf adalah berat dan salah di sisi agama Islam.

“Jadi hari ini kami telah mengemukakan dua laporan kepada JAWI berkaitan beberapa kes tuduhan qazaf yang telah berlaku sama ada di media sosial atau secara terbuka di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

“Kami harap pihak berkuasa JAWI membuat penilaian dan melakukan tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan JAWI di sini hari ini.

Seksyen itu menyatakan Qazaf bermaksud membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata pihaknya membuat laporan kepada pihak berkuasa JAWI berhubung tindakan Radzi yang mengeluarkan perkataan berkenaan ketika bertikam lidah dengan Anwar semasa Menteri Kewangan itu menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat pada Selasa lepas.

Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Zairudin Hashim membuat laporan kepada pihak sama berhubung hantaran di akaun Facebook milik bekas setiausaha politik Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Mubin Salleh atau nama sebenarnya Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang menyebut beberapa perkataan jelik terhadap Anwar semalam.

Zairudin berkata tidak salah berbeza politik tetapi hindarkan daripada memfitnah membabitkan kesalahan qazaf.

“Ini bukan kesalahan biasa kerana ia membabitkan hukum syarak dan sebagai umat Islam khususnya, elakkan daripada menormalisasikan perkara ini serta elakkan daripada sengaja menulis di media sosial berkenaan fitnah-fitnah yang tidak sepatutnya dibuat oleh kita semua,” katanya.

Turut hadir membuat laporan itu ialah Setiausaha ABIM Wilayah Persekutuan Khairul Fahmi Helmi Muharor, Yang Dipertua ABIM Wilayah Persekutuan Muhamad Aliemran Norasid dan aktivis ABIM Ainol Azril Ainol Zaffery. – 22 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related