KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah membuat laporan polis berhubung kenyataan dimuatnaik menerusi hantaran Facebook berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM) digital, memandangkan dakwaan itu tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
Menerusi kenyataannya hari ini, JPJ berkata, laporan polis itu dibuat supaya siasatan dapat dibuat terhadap pemilik akaun terbabit.
Katanya, ia bagi mengelakkan perkongsian kenyataan tidak betul dan mengelirukan pada masa hadapan.
“JPJ ingin menjelaskan bahawa kenyataan dalam hantaran tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai,” katanya.
Selain itu, jabatan berkenaan memaklumkan, sepertimana kenyataan media Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 10 Februari lalu, JPJ sedang dalam fasa interim pelaksanaan pendigitalan LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).
Menurutnya, pemilik kenderaan dan pemandu yang sudah bersedia, digalakkan beralih daripada dokumen berbentuk fizikal kepada dokumen berbentuk digital.
Bagaimanapun, katanya, sepanjang tempoh interim itu, pemilik kenderaan dan pemandu masih diberi pilihan sama ada untuk menggunakan LKM atau LMM dalam bentuk digital atau terus kekal menggunakan dokumen berbentuk fizikal.
“Sehubungan itu, orang ramai yang memilih menggunakan dokumen digital, tidak perlu bimbang sekiranya ditahan pihak agensi penguat kuasa untuk pemeriksaan.
“Pihak penguat kuasa yang terlibat, termasuk PDRM sudah dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya.
Pada masa sama, JPJ berkata, pihaknya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat hantaran atau berkongsi kandungan media sosial yang boleh mengelirukan banyak pihak.
“Orang ramai juga digalakkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat diperolehi untuk memastikan maklumat tersebut benar serta sahih, melalui portal atau media sosial rasmi JPJ,” katanya.
Terdahulu, seorang individu mendakwa kenyataan bahawa cukai jalan fizikal sudah tidak diperlukan adalah tidak benar.
Dakwanya, ketika dia ke JPN untuk bertanyakan mengenai proses cukai jalan, dokuman itu masih diperlukan dalam bentuk fizikal. – 22 September, 2023