KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim tidak berpuas hati apabila memaklumkan polis merampas telefon bimbitnya ketika beliau hadir untuk memberi keterangan di Bukit Aman, semalam.
Malah, Zaid mempertikaikan tindakan dibuat pihak berkuasa itu apabila individu disiasat sudah mengaku menulis hantaran di laman sosial, X (Twitter).
“Mereka (polis) bukan sahaja merampas kebebasan anda tetapi telefon anda juga.
“Mengapa ini perlu apabila orang yang disiasat sudah pun mengaku menulis tweet tersebut?” katanya menerusi ciapan di X.
They not only take your freedom but your phone as well. Why is this necessary when the person under investigation has already admitted to writing the tweet?
— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) September 21, 2023
Maybe the Bar and other human rights groups should look into this MCMC Act. Making it an offense to express oneself is bad…
Zaid turut mencadangkan supaya Persatuan Peguam dan kumpulan hak asasi manusia melihat Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Menjadikan tindakan meluahkan perasaan umpama satu jenayah sudah cukup buruk, tetapi menyekat kemampuan mereka dengan mengambil iPhone mereka adalah kejam,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan bahawa Zaid menerusi ciapan di media sosial itu berkata, beliau akan disoal siasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Seksyen 223 Akta Hasutan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan akan disiasat polis berkaitan isu apa.
Peguam itu berkata, beliau hanya mahukan ruang kecil untuk bercakap dan berfikir secara bebas, bukannya meminta bantuan, gelaran atau jawatan pengerusi agensi atau syarikat berkaitan kerajaan.
Katanya, beliau hanya ingin menyatakan pandangan dalam laman sosial kerana gemar berbuat demikian. – 22 September, 2023