NEW YORK – Antara sebab Malaysia kehilangan peluang perniagaan besar selama berdekad lalu adalah disebabkan kelemahan infrastruktur, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Meskipun Malaysia mempunyai infrastruktur fizikal ketika ia memulakan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1996, namun Perdana Menteri berkata negara terlepas pembangunan perisian.
“Kekurangan itu, saya ingat bahawa Michael Dell memberitahu saya, bahawa adalah bagus Malaysia mempunyai infrastruktur ini tetapi beri tumpuan kepada perisian.
“Dan Bill Gates, pada masa itu, menyebut perkara yang sama, anda telah memberi tumpuan kepada infrastruktur tetapi anda mesti menumpukan kepada perisian.
“Malangnya, kita tidak melakukannya dan kita kalah dengan Bangalore (di India), Singapura, dan negara-negara lain”, katanya semasa sesi soal jawab di Forum Invest Malaysia di sini hari ini.
Beliau menambah, kerajaan perlu menerima kekuatan dan kelemahannya, serta bergerak dengan berani untuk memperbaikinya.
“Dengan memulakan dasar yang jelas, kita akan dapat menarik (lebih banyak pelaburan). Kita perlu menerangkan mengenai polisi yang jelas dan kemudahan menjalankan perniagaan.
“Kita boleh menghadapinya. Tidak ada sebab Malaysia tidak boleh bersedia untuk menangani masalah itu,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya yang bertajuk “Regaining Malaysia’s Lead in Asia”, Anwar berkata usaha pentadbiran baru adalah untuk melihat kepada isu-isu tadbir urus, yang merangkumi kemudahan menjalankan perniagaan, dasar yang jelas serta membebaskan negara dari banyak kesan negatif yang berpunca daripada amalan rasuah.
MSC Malaysia adalah salah satu inisiatif Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ia sepatutnya mempercepatkan objektif Wawasan 2020 dan dipasarkan kepada syarikat digital dengan menawarkan pengecualian cukai sementara dan akses internet berkelajuan tinggi.
Anwar kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78. – 22 September, 2023