Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Hapus subsidi minyak masak, beri subsidi secara bersasar elak ketirisan: Persatuan Pengguna | Scoop

Hapus subsidi minyak masak, beri subsidi secara bersasar elak ketirisan: Persatuan Pengguna

Tindakan drastik itu langkah terbaik memandangkan sukar bagi kerajaan mencari titik noktah kepada masalah penyeludupan dan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan pengguna menggesa kerajaan menghapuskan subsidi minyak masak dan menggantikannya dengan pemberian subsidi secara bersasar.

Setiausaha Agung Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh berkata, pihaknya melihat tindakan drastik itu adalah langkah terbaik memandangkan sukar bagi kerajaan untuk mencari titik noktah kepada masalah penyeludupan dan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi.

“Sebenarnya tiada jalan penyelesaian berkenaan dengan isu ini melainkan kerajaan mengambil langkah nekad menghapuskan terus subsidi minyak masak dan mengantikannya dengan pemberian subsidi secara bersasar.

“Penyalahgunaan subsidi minyak masak peket bukan perkara baru, mengehadkan kuantiti penjualannya juga tidak berkesan kerana tiada satu mekanisma yang boleh mengawal pembeliannya,” katanya kepada Scoop.

Dalam kejadian terbaru Selasa lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki warga asing selepas cuba menyeludup 850 minyak masak peket ke negara jiran di tepi jalan Salor-Pasir Mas dekat Kota Bharu.

Sukhdave berkata, menghalang warga asing untuk membelinya juga bukan satu jalan penyelesaian kerana mereka juga menyumbang terhadap pembangunan ekonomi negara selain membayar levi kepada kerajaan.

“Selain itu penguatkuasaan dengan keangotaannya yang terhad juga tidak mampu mengawal penyelewengan dengan efektif dan adalah tidak adil untuk kita menuding jari terhadap mereka,” katanya.

Nur Asyikin Aminuddin – Gambar media sosial, 22 September, 2023

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, juga bersetuju supaya ada pemberian secara bersasar termasuk menerusi penggunaan kad khas bagi golongan B40.

Beliau berkata, usaha kerajaan Selangor yang memberikan kad kepada golongan B40 untuk berbelanja barangan dapur di beberapa pasaraya dan kedai runcit yang berdaftar dengan kerajaan negeri wajar dijadikan contoh.

“Bila dijual secara terbuka, ketirisan akan terus berlaku malah minyak peket subsidi kita sudah sampai ke Thailand hinggakan rakyat sendiri tiada bekalan.

“Kekerapan berlaku ‘loophole’ menuntut supaya mekanisme secara bersasar dilaksanakan, kita pun sudah ada data bagi kumpulan B40 yang layak menerima subsidi secara bersasar,” katanya.

Isu integriti juga, katanya, perlu diberi penekanan oleh pihak berkuasa dan jika penyelewengan dan ketirisan minyak peket subsidi ini terus berlaku, kerajaan boleh pertimbang untuk terus meningkatkan lagi denda dan hukuman sebagai pengajaran.

Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff. – Gambar Facebook, 22 September, 2023

Sementara itu penganalisis ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kaedah penggunaan kad khas atau kad pengenalan dicadangkan antara usaha untuk memastikan subsidi sampai kepada mereka yang layak.

“Itu yang kerajaan mahu mulakan dengan subsidi petrol dan diesel menggunakan kad pengenalan dan e-dompet. Untuk subsidi bersasar petrol mudah serta pemantauan boleh dilakukan kerana hanya dilakukan di stesen minyak.

“Bagi makanan asas, ada banyak kedai runcit. Berkemungkinan akan ada pihak yang buat keputusan menyimpan barang kawalan dan digunakan untuk seludup ke luar negara atau dijual kepada golongan tak layak atau warga asing.

“Namun, tidak dinafikan dengan adanya kaedah sebegini, ia mampu mengawal pengeluaran barangan subsidi dengan menjualnya kepada golongan sasaran.

“Cuma pihak berkaitan perlu membuat pemantauan rapi dan bersikap telus. Jika tidak, dibimbangi barangan kawalan ini tiba-tiba tak ada di pasaran pula,” katanya. – 22 September, 2023.

Topics

 

Hangat

Related