KUALA LUMPUR – Skim Perubatan Madani diperluas ke seluruh negara bermula Jumaat lalu berikutan sambutan menggalakkan rakyat.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan lebih daripada 130,000 rawatan kesihatan pesakit luar bagi kes akut diberikan melalui klinik swasta dan 80,000 isi rumah mendapat manfaat skim yang bermula 15 Jun lalu.
“Bilangan rawatan yang diberikan hampir mencecah 4,000 sehari dan semakin meningkat.
“Kini, lebih 1,300 klinik swasta mendaftar dan bekerjasama dalam program ini sebagai panel dalam memberikan perkhidmatan.
“Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, sukacita dimaklumkan bahawa Skim Perubatan Madani diperluas ke seluruh Malaysia bermula 15 September lalu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, KKM juga mengalu-alukan klinik perubatan swasta di seluruh negara untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani.
“Saya juga berharap Yang Berhormat sekalian dapat membantu mempromosi skim di kawasan masing-masing, untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kemudahan kesihatan ini,” katanya.
Skim Perubatan Madani diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2023 sebagai antara inisiatif mengatasi isu kesesakan pesakit di hospital kerajaan, selain membantu golongan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes akut) di klinik pengamal perubatan swasta umum (GP) berhampiran.
Peruntukan menerusi skim itu adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang yang dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Pada 8 Ogos lalu, Dr Zaliha dilaporkan berkata, Skim Perubatan Madani diperluas ke 11 daerah lain membabitkan Kota Setar dan Kuala Muda di Kedah, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Terengganu. – 19 September, 2023