Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Fasiliti perubatan swasta diberi kelonggaran bersyarat ambil Jururawat Terlatih Warga Asing | Scoop

Fasiliti perubatan swasta diberi kelonggaran bersyarat ambil Jururawat Terlatih Warga Asing

Dr Zaliha berkata, keputusan tersebut disambut baik industri perubatan swasta kerana berupaya membantu mengoptimumkan pengoperasian dan perkhidmatan mereka

4:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan fasiliti perubatan swasta mengambil Jururawat Terlatih Warga Asing (JTWA) bagi tempoh 12 bulan mulai 1 Oktober ini dengan kelonggaran bersyarat secara sementara.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kelonggaran itu susulan langkah kerajaan mengkaji semula pengambilan JTWA seperti termaktub Employment Criteria for Foreign Trained Nurses In Malaysia 2018, demi kepentingan perkhidmatan yang lebih mampan dan berdaya saing.

“Kekurangan tenaga kerja jururawat di kedua-dua sektor awam dan swasta memberi kesan yang besar terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan secara efektif di negara ini.

“Perkara ini sudah lama dibangkitkan oleh pelbagai persatuan dalam rangkaian industri perubatan swasta dan ianya harus segera diatasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Dr Zaliha, pengambilan tersebut tertakluk kepada syarat tertentu iaitu JTWA perlu menduduki Ujian Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia.

Katanya, walaupun pengambilan JTWA sah bagi tempoh setahun sahaja, pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan lagi mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) JTWA.

“Bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti tersebut.

“Pengambilan JTWA juga hendaklah mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, keputusan tersebut disambut baik industri perubatan swasta kerana berupaya membantu mengoptimumkan pengoperasian dan perkhidmatan mereka.

“Dengan ini, fasiliti kesihatan swasta juga akan lebih bersedia untuk menyokong KKM dalam usaha memenuhi keperluan kesihatan rakyat, melalui jalinan kerjasama awam-swasta.

“KKM menjangkakan langkah ini akan memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan, dan seterusnya merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, walaupun kelonggaran diberikan untuk pengambilan JTWA, KKM tetap memberi keutamaan kepada kebajikan dan prospek kerjaya jururawat tempatan.

“KKM akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025.

“Langkah ini diambil demi mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara,” katanya.

Ujarnya lagi, KKM sentiasa cakna dan sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam menyelesaikan isu berhubung perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Melalui kelonggaran kriteria pengambilan JTWA, diharapkan semua fasilti kesihatan swasta akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat Malaysia,” katanya. – 18 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related