Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Semangat 'Segulai Sejalai' dizahirkan menerusi sambutan Hari Malaysia 2023 | Scoop

Semangat ‘Segulai Sejalai’ dizahirkan menerusi sambutan Hari Malaysia 2023

Sambutan kali ini bertepatan dengan aspirasi Malaysia Madani yang mengangkat perpaduan sebagai kunci utama kestabilan negara

11:06 PM MYT

 

KUCHING — Semangat ‘Segulai Sejalai’ yang bermaksud seiring sejalan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang berjaya dizahirkan menerusi sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Perpaduan di sini malam ini.

Bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sambutan kali ini bertepatan dengan aspirasi Malaysia Madani yang mengangkat perpaduan sebagai kunci utama kestabilan negara.

Fahmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, berkata tema itu seharusnya dilihat sebagai ruang serta peluang untuk rakyat meningkatkan jati diri demi negara dan bangsa.

“Cogan kata ini amat bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia yang melambangkan kesatuan, perpaduan serta semangat kerjasama utuh dalam kalangan masyarakat majmuk sebagai tonggak untuk merealisasikan harapan Malaysia Madani.

“Saya dengan ini meminta hadirin berdoa agar Malaysia terus menjadi aman serta makmur dan rakyat berjiwa kental dan teguh dalam menyokong usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengemudi tanah air sehingga menjadi negara yang serba maju,” katanya ketika berucap pada sambutan malam ini. 

Terdahulu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2023 merupakan satu penghormatan kepada Bumi Kenyalang. 

Julaihi, selaku menteri bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan, berkata langkah itu juga bertepatan memandangkan Sarawak adalah negeri yang mencerminkan kepelbagaian kaum yang mencorakkan Malaysia. 

Beliau juga berkata setiap rakyat perlu menghayati detik sejarah penubuhan Malaysia sekali gus membentuk jati diri.

“Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang menggerakkan generasinya yang celik sejarah, penghayatan sejarah akan membentuk jati diri dan menzahirkan identiti anak Malaysia yang jitu.

“Sejarah penubuhan Malaysia wajar diberi keutamaan dalam sistem pendidikan negara,” katanya. – 16 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related