KUALA LUMPUR – Tiada sebarang surat penolakan dikeluarkan bagi mana-mana permohonan pengambilan murid antarabangsa di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), bagi tempoh Jun hingga Ogos 2023.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, Bahagian Pendidikan Swasta menerima sebanyak 25 permohonan kemasukan murid antarabangsa dalam tempoh sama.
Menurutnya, kesemua permohonan itu dalam penelitian, selain sekolah terbabit sudah dimaklumkan mengenainya.
“KPM mengambil perhatian laporan media mengenai isu dibangkitkan berkaitan pengambilan murid antarabangsa di SMPC.
“Penelitian menyeluruh perlu dilakukan kerana ia membabitkan Dasar Pengoperasian SMPC yang sedang dalam proses semakan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Selain itu, KPM memaklumkan, kemasukan murid antarabangsa sentiasa dialukan selaras dengan hasrat menjadikan negara sebagai hab pendidikan antarabangsa.
“Pada masa sama, KPM bertanggungjawab memastikan setiap prosedur ditetapkan dipatuhi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan terdapat kira-kira 28 permohonan pengambilan murid antarabangsa di sebuah SMPC di Perak ditolak. – 16 September, 2023