Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tiada sekatan jalan raya atau gangguan tren kerana Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’: polis | Scoop

Tiada sekatan jalan raya atau gangguan tren kerana Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’: polis

Mesej tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa perkhidmatan tren akan dihentikan atas ‘nasihat PDRM’ adalah tidak benar

8:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan penutupan jalan dan gangguan perkhidmatan tren berikutan Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang dijadualkan berlangsung esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid menolak dakwaan bahawa polis merancang mengadakan sekatan jalan raya di pusat bandar atau mengeluarkan arahan untuk menghentikan perkhidmatan LRT, MRT dan monorel.

“Tidak akan ada sebarang sekatan jalan raya di KL. Perkhidmatan tren juga tidak akan dihentikan, ia akan beroperasi seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Allaudeen diminta mengulas mengenai mesej tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa perkhidmatan tren akan dihentikan atas ‘nasihat Polis Diraja Malaysia’ (PDRM) dan tertakluk kepada arahan daripada Kementerian Pengangkutan serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Mesej itu yang didakwa sebagai arahan daripada “pihak berkuasa” kepada penyedia perkhidmatan pengangkutan, juga menegaskan penganjur acara Keretapi Sarong akan diberitahu untuk “menjadualkan semula aktiviti mereka.”

Mesej berasingan yang kononnya disebarkan sebagai maklumat daripada penganjur Himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ mendakwa jalan raya menuju ke pusat bandar akan ada sekatan jalan dan tren tidak akan berhenti di stesen tertentu.

“Kami (polis) juga tahu tentang acara Keretapi Sarong (tempat peserta) akan berkumpul di Dataran Merdeka. Tidak akan ada gangguan untuk perkhidmatan tren, jangan risau.

“Bergantung kepada keadaan pada himpunan esok. Kita akan menilai sama ada terdapat keperluan untuk menutup jalan. Tetapi, buat masa ini, tiada rancangan untuk mengadakan sekatan jalan raya,” kata Allaudeen mengulas mengenai mesej tersebut.

Beliau juga berkata, kekurangan notis yang sewajarnya daripada penganjur perhimpunan menyukarkan polis dalam menjalankan tugas mereka.

Malah, katanya, orang ramai turut khuatir jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Inilah sebabnya penting (bagi penganjur perhimpunan) mengemukakan notis dengan lokasi yang tepat di mana mereka mahu mengadakan perhimpunan, supaya polis boleh membantu (acara sedemikian).

“Fungsi kami adalah untuk memudahkan (perhimpunan), tetapi kami hanya boleh melakukannya apabila kami mempunyai maklumat mencukupi. Mula-mula mereka (penganjur perhimpunan) kata mereka akan berkumpul di Sogo, kemudian ditukar ke Bukit Bintang dan terbaharu di Kg Baru,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan perhimpunan yang dipercayai sebahagian besarnya dianjurkan oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu akan berlangsung di Masjid Jamek Kg Baru di sini, dengan Sekretariat Gerakan Selamatkan Malaysia menyeru rakyat berhimpun secara aman diikuti dengan solat Zohor di masjid tersebut.

Selain membantah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi, sekretariat itu juga menggesa Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) “dibebaskan daripada kuasa eksekutif.”

Tuntutan ketiga adalah menggesa “undang-undang yang adil kepada semua rakyat.”

Semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis menolak permohonan penganjur perhimpunan itu kerana maklumat yang dikemukakan tidak lengkap.

Katanya, antara butiran yang tidak dinyatakan secara terperinci oleh penganjur, ialah lokasi dan nama penganjur perhimpunan ketika membuat permohonan. – 15 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related