Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Dapatan laporan awal nahas Elmina tumpu sistem kawalan pesawat: pakar | Scoop

Dapatan laporan awal nahas Elmina tumpu sistem kawalan pesawat: pakar

Dapatan laporan juga menyebut bahawa tiada objek asing memasuki enjin, sekali gus menepis teori faktor luaran menjadi punca nahas pesawat tersebut

10:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Laporan awal nahas pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1 di Bandar Elmina pada 27 Ogos lalu yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini, dilihat banyak memfokuskan kepada sistem kawalan pesawat.

Selain itu, dapatan laporan juga menyebut bahawa tiada objek asing memasuki enjin, sekali gus menepis teori faktor luaran menjadi punca nahas pesawat tersebut.

Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Prof Madya Mejar Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, laporan menyebut mengenai ‘tekanan berlebihan’ terhadap kabel sistem kawalan.

“Laporan awal didapati banyak tumpukan tentang sistem kawalan pesawat, kalau lihat ada gambarajah disediakan bagaimana sistem kawalan itu berfungsi.

“Daripada laporan itu ada kenyataan menyebut ada ‘overload tension’ terhadap kabel sistem kawalan itu dan beberapa komponen sistem itu telah diberi kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) Amerika Syarikat (AS) dan pengilang peralatan asal (OEM) bagi menjalankan kerja makmal.

“Ini untuk mengetahui apakah faktor dan punca kabel sistem itu mengalami ‘overload tension’ dan apakah juga punca dan faktor kecelaruan pada sistem kawalan itu,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, laporan juga menyebut analisa terhadap enjin juga mendapati tiada objek luaran atau asing memasuki enjin semasa penerbangan.

“Mereka analisa bilah kipas dan mendapati tiada pun bukti menunjukkan ada objek asing yang pergi pada halaju tinggi ke enjin.

“Jadi kita boleh tolak tentang anamoli yang ada pada enjin, namun siasatan lanjut nanti mungkin akan dedahkan berkait cebisan enjin,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Harridon berkata, laporan fizikal keupayaan juruterbang dan pembantu juruterbang yang layak melakukan penerbangan juga menepis segala dakwaan kemungkinan kesilapan manusia.

Namun katanya, siasatan akan lebih jelas apabila fail audio kotak perakam suara kokpit (CVR) yang berjaya dipindahkan di makmal di Amerika Syarikat dianalisa.

“Laporan awal kata bila perlu mereka akan letakkan dialog-dialog tersebut dalam laporan.

“Saya rasa pihak berkuasa sudah ada rakaman itu, cuma mungkin mereka tunggu laporan komprehensif dari makmal dan selepas itu mungkin akan selarikan dan meletakkan dialog dalam laporan selanjutnya jika ada selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, menjadi prosedur selepas setahun laporan komprehensif akan dikeluarkan, yang antara lain terdapat nasihat berguna untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan industri penerbangan.

“Kita perlu jalankan analisa dan siasatan terperinci, sebab tidak mahu ada kesilapan kerana ini berkait keselamatan. Begitu juga dengan waris yang kehilangan ahli keluarga, mereka perlu mengetahui punca sebenar nahas itu berlaku.

“Laporan disediakan mengikut Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 yang menekankan bahawa laporan bertujuan meningkatkan keselamatan dalam industri penerbangan bukan untuk mencari salah sesiapa,” katanya.

Laporan awal nahas dikeluarkan MOT hari ini antara lain mendapati juruterbang pesawat berlesen dan layak untuk melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada, selain kejadian berlaku pada siang hari dengan penglihatan jelas dan keadaan meteorologi baik.

Dalam kejadian pada jam 2.50 petang 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina dekat Shah Alam.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas. – 15 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related