KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan supaya sistem pilihan raya di negara ini, dipinda dengan mengambil contoh sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) di Singapura.
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sistem berkenaan boleh mempertingkat perwakilan golongan minoriti di Dewan Rakyat.
“Sistem ini (GRC) adalah sistem terbaik. Sila pertimbangkan. Kita tak pernah buat pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, sudah tiba masa Malaysia mempertimbangkan sistem pilihan raya berbeza, memandangkan kerangka sedia ada ditentukan apabila Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa pada 1957.
“Kita ada populasi 70.1 peratus Bumiputera, 22.6 peratus Cina, 6.6 peratus India. Benda ini kena perhati balik supaya sistem pilihan raya ini buat yang terbaik, mirip sistem di Singapura.
“Kita nak supaya kumpulan minoriti di Malaysia ini ada wakil, contoh orang India 6.6 peratus (dari populasi), mereka layak dapat 16 kerusi, (tapi) sekarang tak cukup kerusi,” katanya.
Menerusi sistem GRC di Singapura, sekumpulan calon akan bersama-sama bertanding dalam pilihan raya sebagai satu pasukan merangkumi pelbagai kaum.
Setiap pasukan mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang calon daripada kaum minoriti negara itu, iaitu Melayu, India dan lain-lain. – 14 September, 2023