Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kaitkan penggunaan helikopter PM dengan helipad, Takiyuddin ditempelak, ‘itu fitnah, sangkaan jahat’ | Scoop

Kaitkan penggunaan helikopter PM dengan helipad, Takiyuddin ditempelak, ‘itu fitnah, sangkaan jahat’

Ahli Parlimen Kota Bahru itu mengeluarkan dakwaan terbabit ketika sesi Dewan Rakyat hari ini, namun mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pemimpin kerajaan

1:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan membuat dakwaan mengaitkan penggunaan helikopter oleh Perdana Menteri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, dengan pembinaan helipad.

Tindakan Ahli Parlimen Kota Bharu itu ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menyebabkan beberapa Ahli Parlimen kerajaan tidak berpuas hati dan menyifatkan ia satu fitnah dan sangkaan jahat.

Dalam dakwaannya, Takiyuddin mendakwa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, menggunakan tiga helikopter untuk menghadiri program Karnival Usahawan Desa di Sungai Besar, Selangor pada PRN itu.

Beliau turut mendakwa beberapa hari sebelum itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sungai Besar perlu menghabiskan puluhan ribu ringgit bagi membina helipad.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) kemudian bangun mencelah dan berdasarkan Perkara 36(6) peraturan mesyuarat, beliau berkata apa didakwa Takiyuddin adalah fitnah dan sangkaan jahat serta perlu ditarik balik.

“Kota Bharu buat fitnah kerajaan terpaksa belanja puluh ribu buat helipad, itu fitnah terhadap Perdana Menteri, satu sangkaan jahat, kalau fakta tak betul (Kota Bharu) tarik balik.

“Fakta daripada cybertrooper, media sosial termasuk TikTok, jadi boleh buat apa saja tuduhan tapi tak berasas,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) turut mencelah dan mahu sangkaan jahat terhadap Ahli Parlimen Tambun itu ditarik balik.

Timbalan Speaker, Datuk Ramli Md Nor, kemudian meminta ahli Parlimen bertenang dan memaklumkan ketika itu adalah ruang bagi Ahli Parlimen Kota Bharu untuk membahaskan usul.

“Saya hanya berpandu peraturan mesyuarat, ini adalah ‘floor’ Kota Bharu, kalau terus ada gangguan (mencelah), penjelasan tidak dapat didengar.

“Jadi kalau tidak benar dengan apa dilemparkan dalam dewan ini, saya minta Bayan Baru, Sungai Petani dan yang tidak berpuas hati, nyatakan dengan spesifik bahagian mana dan usulkan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk dinilai serta diputuskan kemudian,” katanya. – 14 September, 2023.

Topics

 

Hangat

Related