KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui soalan mengenai perkahwinan adalah soalan yang paling sukar untuk dijawab oleh beliau berbanding soalan-soalan lain.
Malah ketika ditanya sama ada beliau sudah mempunyai calon isteri, Syed Saddiq secara berseloroh enggan mengulas sebaliknya berkata:
“Ia adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi kerajaan.”
Beliau ditanya soalan tersebut ketika menjadi jemputan untuk segmen dalam rancangan podcast PodaBoom ‘The Good, The Bad, and The Ugly’, oleh Scoop, baru-baru ini.
Ia dihoskan oleh ketua pengarang kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez, ketua pegawai eksekutif kumpulan Datuk Zainul Arifin dan pengarah eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (Rocky).
Jelas beliau, dalam dunia politik ini adalah penting untuk mempunyai isteri yang memahami dan boleh bertahan.
“Kita tunggu dulu. When the time is right, the time is right.
“Saya rasa kalian lebih tahu. Nak-nak dalam dunia politik ni, isteri teramat penting kerana perlu ada isteri yang memahami, boleh bertahan. Kalau tidak… sukar,’’ katanya yang mengakui ibunya mempunyai kuasa veto dalam pemilihan isteri. – 15 September, 2023