Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
108,373 rumah mampu milik sudah dibina, yakin sasaran RMK-12 tercapai | Scoop

108,373 rumah mampu milik sudah dibina, yakin sasaran RMK-12 tercapai

Dalam soal perumahan, kerajaan sentiasa cakna dan menjadikannya sebagai agenda utama yang tidak boleh dikompromi

2:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, sebanyak 108,373 rumah mampu milik sudah dibina sehingga akhir 2022 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurutnya, dengan pencapaian itu beliau yakin melalui pembabitan semua sektor awam dan swasta, sasaran membina 500,000 rumah mampu milik dalam RMK-12 akan tercapai.

“Dalam soal perumahan, kerajaan sentiasa cakna dan menjadikannya sebagai agenda utama yang tidak boleh dikompromi.

“Kita sedar bahawa harga rumah dan kadar sewa yang semakin meningkat telah membebankan rakyat,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, bagi memudahkan rakyat untuk mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa, anjakan utama Perumahan Rakyat akan terus ditambah baik melalui peralihan daripada konsep pemilikan kepada konsep tempat tinggal.

“Sehubungan dengan itu Skim Sewa untuk Beli (RTO) akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar dapat memiliki rumah.

“Selain itu, inisiatif penyediaan tempat tinggal secara sewaan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan bandar utama yang sudah dilaksanakan di beberapa tempat seperti di Johor dan Selangor akan dipertingkatkan lagi,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Projek Rintis Perumahan Inklusif Madani akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

“Pembinaan ini membabitkan 800 rumah dengan pelbagai saiz ruang lantai bagi menampung keperluan golongan sasar yang berbeza.

“Selain itu, tumpuan juga akan diberikan untuk meneroka potensi perkampungan persaraan yang inklusif bagi persediaan menghadapi impak negara menua,” katanya. – 11 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related