MELAKA – Seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun meninggal dunia dipercayai akibat tercekik ketika memakan anggur, kira-kira 10 hari selepas menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kanak-kanak dikenali sebagai Nur Aryanna Danisha Muhamad Shaizat disahkan meninggal dunia pada pukul 9.23 pagi tadi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Melaka.
Menurutnya, kanak-kanak itu menerima rawatan awal di sebuah hospital swasta di Ayer Keroh akibat tercekik ketika memakan anggur di rumahnya di Taman Merbok di sini.
“Doktor di hospital berkenaan berjaya mengeluarkan anggur itu. Bagaimanapun kanak-kanak terbabit didapati masih dalam keadaan tidak stabil dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Christopher berkata, kanak-kanak itu dipindahkan ke Hospital Melaka pada 31 Ogos lalu.
Katanya, doktor mengesahkan punca kematian kanak-kanak itu ialah ‘Hyporxic Ischaemic Encephalopathy secondary to choking’. – 10 September, 2023