KUALA LUMPUR – Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) M1M mendapat bidaan tertinggi berjumlah RM622,000 manakala M5M pula kedua tertinggi dengan bidaan sebanyak RM500,000.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi satu kenyataan memaklumkan, M8M pula menerima bidaan berjumlah RM450,000 diikuti dengan M9M bernilai RM402,004 manakala M6M pula RM350,000.
“Siri M_ _M ini juga menunjukkan sambutan luar biasa daripada pembida.
“Jumlah penyertaan keseluruhan pembida siri ini adalah seramai 25,033 dan sebanyak 6,872 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, M101M antara lima NPI popular yang mendapat bidaan daripada 39 pembida manakala M155M dengan 33 pembida diikuti M51M (32 pembida) dan M39M (28 pembida).
“JPJ ingin mengucapkan tahniah kepada pembida yang menerima keputusan rasmi pada 5 September lalu.
“Terima kasih juga kepada semua pengguna yang menyertai bidaan ini bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan pilihan masing-masing melalui Sistem JPJeBid,” katanya.
Ujarnya lagi, NPI M_M yang dibuka pada 31 Ogos sehingga 4 September lalu sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 negara berjaya merekodkan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM20,091,970.
“Hasil pembidaan siri M_M ini yang membawa maksud “Malaysia Merdeka” mendapat sambutan daripada pelbagai pihak bagi menunjukkan semangat dan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2023,” katanya. – 8 September, 2023