KUALA LUMPUR — Dua individu yang berusia dalam lingkungan 20-an rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori kontena di Jalan Kuala Garing, Rawang, awal pagi tadi.
Kemalangan itu melibatkan kereta jenis Honda City yang terbakar 70 peratus manakala lori tersebut mengalami kebakaran 50 peratus.
Menurut penolong pengarah bahagian operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang menerima panggilan pada 3.53 pagi dan telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di sana, bomba mendapati dua orang iaitu seorang lelaki dan seorang wanita tempatan, masing-masing berusia 26 dan 23 tahun rentung,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Mukhlis berkata, pemandu lori kontena itu selamat selepas sempat keluar dari kenderaan tersebut. – 7 September, 2023