JOHOR BAHRU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti secara terperinci masalah yang dihadapi agensi penguatkuasa di pintu masuk Malaysia-Singapura bagi memastikan kesesakan di situ dapat diatasi khususnya pada waktu puncak dan musim perayaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jawatankuasa di peringkat persekutuan dan negeri telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Perbincangan di peringkat jawatankuasa, termasuklah inisiatif memulihkan atau meredakan isu kesesakan ini. Salah satu aspek dalam perhatian untuk mencari kaedah penyelesaian.
“Bagi semua insiatif dibuat terikat dengan garis masa. Contoh, untuk menambah baik auto gate atau menyatukan lorong di antara pemeriksaan pasport bayaran touch ngo dan juga kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya kepada media ketika ditemui selepas Ceramah Perpaduan Pulai di Taman Dahlia, malam tadi.

Terdahulu, Scoop melaporkan tekanan kerja yang melampau sehingga menjejaskan kesihatan mental merupakan antara yang dialami oleh anggota dan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang bertugas di pintu masuk Malaysia-Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, sehingga menyebabkan gangguan kepada mental hingga ada yang terpaksa mengambil cuti kecemasan dan cuti sakit.
Perkara ini didedahkan oleh veteran JIM, Wan Azmi Wan Hussin, 61, yang memaklumkan ada petugas Imigresen di pintu masuk tersebut mengalami masalah untuk menyesuaikan diri di tempat baharu, gagal mengawal daya tindak diri, kesunyian kerana berjauhan dengan keluarga dan kekecewaan dalam perhubungan.
Justeru, Azmi mencadangkan kerajaan mewujudkan elaun khas untuk anggota yang ditempatkan di CIQ BSI bagi memberi semangat kepada mereka untuk melaksanakan tugasan diberikan dengan sebaiknya.
Dalam pada itu, mengulas ‘fatwa haram’ oleh pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Saifuddin berkata, ia seolah-olah perbuatan untuk ‘hijack’ atau merampas pengertian Islam sebenar.
“Saya menggesa agar Muhyiddin tidak mengeluarkan kenyataan seperti itu lagi. memadai kita bertarung dalam politik dengan menawarkan dasar. Itu lebih molek berbanding melemparkan satu hukum khusus disandarkan dengan agama tanpa ikut tertib dan kaedah hukum Islam.
“Saya tak terkejut sebenarnya sebab Muhyiddin dampingi PAS yang bukan dipimpin Allahyarham Yusof Rawa, Datuk Fadzil Mohd Noor, Datuk Haron Din yang sangat menjaga ahklak mereka namun parti itu di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang, kuasa adalah segalanya. Beberapa pendekatan dan tabiat geng PAS telah menjadi ikutan Bersatu,” katanya.
Minggu lepas, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa “haram memberikan undi kepada Suhaizan.”
Suhaizan adalah calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai. – 6 September, 2023