KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa segera memohon maaf atas kekhilafan dakwaan beliau kononnya kepentingan orang Melayu ‘berbahaya’ sekiranya persempadan dilakukan kerajaan, jika Pakatan Harapan (PH) meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, sekiranya tidak berbuat demikian, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan dicap sebagai pemimpin yang menunggang pengundi Melayu dan generasi muda demi kepentingan politik diri semata-mata.
“Saya ingin menempelak kenyataan Muhyiddin yang sangat tidak bertanggungjawab bahawa kononnya, kepentingan Melayu ‘berbahaya’ kerana dikatakannya persempadan akan berlaku dan kemungkinan berfokus di kawasan bandar yang kebanyakannya didiami pengundi Cina.
“Saya memandang serius tuduhan sebegini kerana politik ketakutan ini selalunya dilontarkan untuk memomokkan orang Melayu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam dakwaan dibuat Muhyiddin itu pada Ceramah Perdana di Taman Kempas, Johor Bahru, baru-baru ini, beliau mendakwa sekiranya kemenangan berpihak kepada calon PH, ia memberi kelebihan kepada kerajaan ketika ini untuk memiliki dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, sekali gus membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan, termasuk persempadanan kawasan pilihan raya.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, lebih merisaukan jika persempadan itu kemungkinan berfokus di kawasan bandar yang kebanyakannya didiami pengundi Cina, justeru beliau menegaskan kemenangan PH dalam PRK Parlimen Pulai perlu disekat.
Selain itu, Chean Chung berkata, kenyataan rasis dan berbaur perkauman masih boleh diterima kerana ia sememangnya alat permainan PN selama dua tahun ini.
Namun, katanya, apabila perkauman sempit diselitkan dengan fakta separuh masak, itu dapat menipu dan mempengaruhi rakyat biasa yang tidak selalu mengikuti perkembangan semasa.
“Sebagai contoh, jumlah pengundi di Parlimen Kapar adalah 188,791 orang, manakala Parlimen Sabak Bernam hanya 51,615 orang. Kedua-dua kerusi adalah di Selangor, tetapi perbezaan pengundi adalah amat ketara, iaitu hampir 3.6 kali ganda.
“Ini bererti pengundi Melayu di Kapar (128,734 orang, majoriti Melayu dan dimenangi PN) hanya menikmati lebih kurang ¼ hak daripada pengundi Parlimen Sabak Bernam (41,808 orang, kerusi majoriti Melayu yang juga dimenangi PN). Adakah ini adil dalam tafsiran Muhyiddin?’ katanya.
Menurutnya, kedua, Undi18 dan pendaftaran automatik mengakibatkan penambahan pengundi muda secara mendadak di bandar.
Di sesetengah kawasan Parlimen, katanya, pengundi muda di bandar hanya setanding dengan 1/5 undi pengundi warga emas di luar bandar.
Ujarnya, Muhyiddin pula berani menganiayai suara dan mencabul hak orang muda?
“Secara fakta, persempadanan melampau (gerrymandering) dan ketidakseimbangan saiz pengundi (malapportionment) mengakibatkan ketidakadilan dalam proses pengundian kita sejak had perbezaan pengundi sebanyak 33.3 peratus dimansuhkan pada 1973.
“Selepas 50 tahun, bukankah tugas pemimpin generasi kini untuk menyemak dan melihat semula ketidakadilan yang ketinggalan zaman ini?,” katanya.
Secara sinis, Chean Chung mempersoalkan kemungkinan Muhyiddin lupa beliau pernah menyertai Himpunan BERSIH pada 2016 semasa disingkirkan daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Masa itu beliau hebat perjuangkan hak pengundian yang adil, malah memakai baju kuning serta dilihat sepentas bersama Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad).
“Adakah itu hanya sandiwara politik yang memang mencerminkan sebahagian besar politikus yang pandai beraksi sekarang?’ katanya. – 5 September, 2023