Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tindakan tegas kepada pengilang beras guna taktik ‘tukar baju’, usah panik keadaan terkawal: Mat Sabu | Scoop

Tindakan tegas kepada pengilang beras guna taktik ‘tukar baju’, usah panik keadaan terkawal: Mat Sabu

Situasi masih terkawal dan sedang ditangani sebaiknya oleh kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan bekalan beras tempatan sentiasa mencukupi

12:31 PM MYT

 

JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pengilang beras yang dipercayai menggunakan taktik ‘tukar baju’ untuk mengaut keuntungan berikutan kenaikan harga beras import.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun memberi jaminan situasi itu masih terkawal dan ia sedang ditangani sebaiknya oleh kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan bekalan beras tempatan sentiasa mencukupi.

“Kita maklum berkenaan (dakwaan) itu yang sedang kita tangani secara terperinci oleh pihak kawal selia padi dan beras negara. Kita akan sentiasa mengamati perkara tersebut.

“KPKM dengan kerjasama pihak kawal selia padi dan beras negara sedang bertindak di bawah akta sedia ada untuk menyelesaikan isu tersebut. (Bagaimanapun) sekarang ini, ia terkawal,” katanya selepas membuat tinjauan bekalan beras di sebuah pasaraya dekat Tampoi, hari ini.

Terdahulu, Scoop melaporkan Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin mendakwa terdapat segelintir pengilang menggunakan taktik itu dengan bertindak menukar bungkusan yang mengandungi beras tempatan kepada bungkusan beras import.

Situasi itu ada kemungkinan berlaku kerana bekalan beras SST5 sudah tiada lagi di pasaran sekitar tiga hingga enam bulan lalu.

Malah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu berkata, semua bekalan bahan mentah tersebut yang dijual di pasar raya berkenaan merupakan beras import.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Operasi Beras Putih (OP BPT) yang bermula pada 16 Ogos lalu masih diteruskan bagi memberi tumpuan terhadap pemeriksaan dan penguatkuasaan peringkat pengilang padi dan pemborong beras di seluruh negara.

“Sekiranya ada pihak gagal mematuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), kementerian melalui kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak membatal atau menggantung setiap lesen yang dikeluarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menasihatkan orang ramai supaya tidak panik sehingga membeli stok bekalan beras putih (BPT) secara berlebihan kerana ia masih dalam kawalan.

“KPKM telah melancarkan Program Khas Beras Putih Tempatan sebagai langkah jangka pendek dengan pihak pengilang padi diminta menyerahkan 20 peratus kuota padi mereka kepada kerajaan melalui Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk diproses bagi penghasilan beras putih tempatan.

“Kementerian juga akan mengadakan sesi dialog Belanjawan 2024 bersama semua pemain industri dan pemegang taruh di bawah subsektor padi pada 7 September ini yang akan diadakan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi Selangor)” katanya. – 5 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related