KUALA LUMPUR — DAP menjemput Umno dan MCA pada persidangan tahunan parti berkenaan yang akan diadakan pada 10 September ini, di Putrajaya, iaitu persidangan pertama yang diadakan selepas DAP bersama parti komponen membentuk Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim berkata, setakat ini ada yang telah membalas jemputan tersebut dan ada yang belum membalasnya.
“Kita telah jemput wakil dari semua parti komponen, ada yang dah reply, ada yang belum. Semua parti komponen. Kita belum dapat maklumat senarai VIP (tetamu kenamaan) yang hadir dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun kita jemput,’’ katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Umno dan MCA turut dijemput untuk hadir pada persidangan tahunan DAP yang akan berlangsung di Hotel Marriott Putrajaya itu.
Mengulas lanjut, Sim berkata, untuk persidangan kali ini, antara perkara yang akan dibincangkan ialah mengenai isu dalaman parti, dasar hala tuju DAP.
Perkara pertama yang akan dibincangkan juga, katanya sudah tentu mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat dasar dan negeri.
Tambahnya, seramai 3,868 wakil layak dan 1,530 cawangan layak untuk menghadiri persidangan yang akan bermula pada pukul 8 pagi itu.
Ditanya mengenai konsep ‘Malaysian Malaysia’ katanya perkara berkenaan telah dijelaskan dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan. – 4 September, 2023