JOHOR BAHRU – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menjangkakan bahawa tidak mustahil PAS kembali berbaik dengan DAP dalam tempoh empat tahun akan datang, sebagai gabungan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).
Beliau berkata, perkara itu tidak menghairan dan mengejutkan sekiranya berlaku, walaupun ketika ini PAS didakwa mencerca serta memfitnah DAP sehingga mengelirukan masyarakat Melayu.
Menurutnya, PAS juga diramal mengubah fatwa dengan menghentam Bersatu, sekiranya parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu berjaya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Fatwa Tan Sri Abdul Hadi Awang tolak ke tepi sebab akan ubah fatwanya hampir setiap kali pilihan raya. Apa diungkap mereka (PAS) hanyalah jenaka, sehingga dulu kata Umno rosak akidah dan tidak boleh sembahyang apabila diimamkan dalam kalangan pemimpin parti itu.
“Sekarang DAP pula, hang (PAS) kata apapun, (kita) tunggu empat tahun lagi PAS akan kenyit pada DAP. Nanti pemimpin parti itu masa mereka kenyit, mereka tutup mata sebab mereka ini suka ubah fatwa,” katanya.
Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Parlimen Pulai di Taman Rekreasi Taman Uda Utama di sini, malam tadi.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, fatwa dilontarkan PAS tidak seharusnya digunakan dalam matlamat berpolitik, termasuk untuk meraih sokongan rakyat kerana ia berisiko menjejaskan keharmonian negara.
“Tidak boleh pakai dah fatwa dikeluarkan PAS ini sehingga orang Melayu dan Islam menjadi goyang.
“Namun, saya melihat golongan muda akan semakin membesar dan melihat kepimpinan Anwar antara terbaik di Asia, malah kita akan menang di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilapor menempelak PAS selepas parti itu didakwa mengeluarkan fatwa untuk mewajibkan rakyat menyokong mereka atas keyakinan palsu, bahawa ia satu-satunya yang memperjuangkan Islam.
Ujarnya, perkara itu sekali gus menafikan demokrasi dan keluasan ijtihad berparti dan berorganisasi dalam Islam dan negara.
Manakala, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu gabungan disertai PAS didakwa ‘berjangkit’ dengan pelakuan pemimpin PAS, apabila mengeluarkan fatwa bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
Justeru, Mohamad berkata, Muhyiddin jarang menyentuh soal fatwa sebelum ini, namun akhirnya berbuat demikian kerana didakwa akibat berkawan dengan PAS. – 4 September, 2023.