Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Izhar, 200 ahli Bersatu sertai Amanah, ‘saya jangka lebih ramai keluar’ | Scoop

Izhar, 200 ahli Bersatu sertai Amanah, ‘saya jangka lebih ramai keluar’

Keputusan itu kerana parti pimpinan Muhyiddin didakwa hilang hala tuju, selain sedar Perdana Menteri sedang melakukan yang terbaik bagi memulihkan negara

9:42 AM MYT

 

JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad yang meninggalkan Bersatu tahun lalu dan menyertai Pakatan Harapan (PH), mendakwa parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu cuba menggunakan ‘politik kotor’ dengan menggugut menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Dakwanya, strategi digunakan gabungan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu yang turut disertai Bersatu juga tidak elok kerana berisiko merosakkan mandat rakyat.

“Kamu (PN) nak lawan jangan rosakkan mandat rakyat. Kalau nak lawan tunggu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana itu adalah platform untuk buktikan kemampuan gabungan. 

“Bukan bertindak sekarang sehingga mengugut untuk menjatuhkan kerajaan. Ini suatu perkara tidak elok. Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) adalah gabungan parti berbilang bangsa. Justeru, saya jamin Kerajaan Perpaduan akan stabil hingga lima tahun akan datang,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden Amanah, Mohamad Sabu, sejurus Ahli Parlimen Kota Raja itu selesai berucap pada ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Johor Bahru, malam tadi.

Penyerahan itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malah, Izhar menjangkakan lebih ramai pemimpin dan ahli akar umbi keluar daripada Bersatu, namun tidak menyatakan jumlah mereka yang akan berbuat demikian.

“Saya serahkan 200 borang ahli cawangan Bersatu (menyertai Amanah) yang datang dari akar umbi di Johor Bahru. Kemungkinan akan lebih ramai keluar Bersatu kerana sedar Perdana Menteri sedang melakukan yang terbaik bagi memulihkan negara.  

Dalam pada itu, Izhar berkata, beliau memilih untuk menyertai Amanah kerana parti terbabit sangat dekat dengan masyarakat, selain kurang kontroversi dan tidak mempunyai permasalahan dalaman.

Bekas Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu mendedahkan, pelbagai negosiasi bersama beberapa parti diadakan, namun beliau nekad memilih Amanah. 

“Saya juga sudah dipanggil sertai (Amanah) sejak tahun lalu ketika PRU-15 dan ditawar sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kota Tinggi, namun saya menolaknya. 

“Ini kerana saya tak mahu masyarakat memandang saya seorang individu yang suka lompat parti demi kedudukan dan jawatan. Jadi, saya sertai Amanah selepas PH memilih calon bagi Parlimen Pulai,” katanya. 

Izhar berkata, keputusan diambilnya untuk meninggalkan Bersatu kerana parti terbabit tidak berpegang kepada agenda penubuhannya, selain hilang hala tuju.

Terdahulu, Izhar dilihat hadir ke Ceramah Perpaduan Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru, Ahad lalu. – 4 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related