KUALA LUMPUR – Bekalan beras putih tempatan dilaporkan berkurangan di Lembah Klang dan ia hanya boleh ditemui di satu daripada empat tempat sahaja.
Scoop yang membuat tinjauan di tiga kedai runcit serta pasar raya besar mendapati beras Super Special Tempatan hanya boleh ditemui di salah satu kedai runcit, dengan harga kawalan iaitu RM2.60 perkilogram.
Sementara, beras Super Import White Rice, termasuk jenama Cap Masjid S.A., Cap Rambutan, Cap Bawang, Jati, dand Floral, berada dalam stok di tiga kedai runcit dan hypermarket, dengan harga antara RM3.38 hingga RM4.58/kg.
Bagi mereka yang mencari beras Basmathi, jenama pilihan seperti Cap Rambutan, Maharaja, dan Floral boleh ditemui pada harga antara RM9.98 dan RM12.90/kg.
Pilihan untuk beras perang dan wangi pula terhad, dengan hanya hanya satu jenama diletakkan di atas rak di kedai runcit tempatan dan pasar raya hypermarket.
Beras EcoBrown dijual pada harga RM8/kg, manakala beras wangi Naga Mutiara pula RM4/kg.
Untuk beras calrose pula, ia boleh didapati di bawah jenama seperti Sumo, dengan harga RM9.90/kg dan boleh diperolehi di kebanyakan kedai. Takumi, dijual pada harga RM6.50/kg, hanya dijual di pasar raya popular.
Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan pesawah, Khamis ini bagi membincangkan berkaitan bekalan beras tempatan negara.
Ia berikutan tindakan penyelarasan harga beras putih import oleh Bernas sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Terdahulu, presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kekurangan bekalan beras Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5) sejak tiga bulan lalu yang harganya dikawal oleh kerajaan menimbulkan spekulasi terdapat segelintir pengilang menggunakan taktik ‘tukar baju’ untuk mengaut keuntungan berikutan kenaikan harga beras import.
Menurut Ameer, kumpulan itu dipercayai bertindak menukar bungkusan yang mengandungi beras tempatan kepada bungkusan beras import.
Pada 1 September lalu, Bernas mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import di pintu gudangnya di seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 berkuatkuasa hari ini.
Ia sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa, kata Bernas dalam satu kenyataan. – 4 September, 2023