KUALA LUMPUR — Seorang wanita dipercayai dirasuk makhluk halus ketika sedang mendaki dalam jarak tiga kilometer dari Bukit Jugra, di Kampung Permatang Pasir, Banting, hari ini.
Komander Operasi Bomba dari Balai Bomba Banting, Khairul Firdaus Sidek berkata, wanita itu mendaki bukit berkenaan bersama keluarganya iaitu seramai lima orang.
“Bomba menerima panggilan pada pukul 12.24 petang dan sebaik tiba di lokasi, kita mendapati seorang wanita, disyaki dirasuk ketika sedang mendaki jarak tiga kilometer dari tempat kejadian.
“Mangsa telah dibawa turun oleh anggota Bomba dengan menggunakan strecher dalam keadaan selamat,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Bomba, katanya mengambil masa selama sejam untuk membawa turun wanita tersebut. – 3 September, 2023