KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin kanan PAS hari ini, mengadakan pertemuan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di kediaman bekas Perdana Menteri itu, bagi membincangkan pelbagai topik berhubung strategi percaturan ekonomi sepatutnya diambil parti berkenaan untuk kemajuan negeri diterajui.
Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, pertemuan selama sejam setengah bermula 5.30 petang itu berjalan dalam suasana amat mesra.
“Pelbagai topik dibincangkan, khususnya mengenai perancangan pembangunan ekonomi negeri di bawah pemerintahan PAS.
“Dr Mahathir berpandangan negeri berkenaan mempunyai pelbagai potensi untuk dibangunkan setaraf dengan negeri yang maju di sebelah Pantai Barat Semenanjung,” katanya kepada Scoop.
Menerusi penerangan dan gambar dikongsikannya itu, kelihatan pertemuan berkenaan dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung parti terbabit, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Ini adalah pertemuan kedua beberapa individu dalam kalangan pemimpin PAS itu bersama Dr Mahathir.
Pada 20 Ogos lalu, status Facebook PAS Pusat memaparkan gambar dan penerangan mengenai pertemuan Abdul Hadi; Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman dan Khairuddin yang juga bekas Ketua Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Wilayah Persekutuan.
Melalui hantaran ketika itu, dikongsikan tiga foto menyaksikan Abdul Hadi bersalaman dengan Dr Mahathir.
Kedua-dua mereka dilihat berbual mesra, duduk berbincang di ruang tamu serta menjamu selera. – 2 September, 2023