Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Anthony Loke kata tak perlu gugur agenda Negara Sekular, Malaysian Malaysia kerana… | Scoop

Anthony Loke kata tak perlu gugur agenda Negara Sekular, Malaysian Malaysia kerana…

Menurutnya, DAP juga tidak pernah meminta parti lain meminda Perlembagaan mereka kerana semua parti mempunyai prinsip perjuangan atau ideologi masing-masing

3:49 PM MYT

 

MUAR – DAP tidak akan mengubah dasar perjuangan parti itu semata-mata untuk meraih kemenangan, khususnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, tiada keperluan untuk DAP menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ kerana persefahaman sudah dicapai antara parti dalam gabungan sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, DAP juga tidak pernah meminta parti lain meminda Perlembagaan mereka kerana semua parti mempunyai prinsip perjuangan atau ideologi masing-masing.

“Apa yang penting kita membentuk kerajaan dan bekerjasama atas beberapa parameter. Paling penting kita mempertahankan Perlembagaan, beberapa perkara pokok asas yang menjadi kebimbangan orang Melayu, kita mendukung prinsip tersebut.

“Ini termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Perkara 153 dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Semua perkara ini sudah dijelaskan sepenuhnya,” katanya kepada media selepas ceramah kelompok di Wisma DAP Bakri di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Loke menegaskan, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berpuas hati dengan penjelasan DAP sebelum bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

“Sehubungan itu, perkara berkenaan sepatutnya tidak perlu diungkit lagi atau mencipta polemik yang mana boleh menjejaskan keyakinan orang ramai. Bagi saya masing-masing ada pandangan dengan setiap parti ada prinsip perjuangan mereka.

“Ini tidak menjadi masalah apabila kita bekerjasama dalam satu gabungan politik, terutama apabila membentuk Kerajaan Perpaduan. Namun apa yang penting hari ini, kita membentuk kerajaan Persekutuan dengan mengangkat dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, daripada mencipta situasi sedemikian, lebih baik parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan menumpukan perhatian mengenai cara untuk mendapat sokongan pengundi Melayu.

“Kita tahu cabaran untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Kawasan saya majoriti pengundi Melayu tapi saya menang, jadi tidak timbul DAP tidak boleh dapat sokongan Melayu. Ya, kita perlu berusaha dan ada cabarannya tapi tak bermaksud DAP ditolak Melayu semata-mata.

“Jadi ini membuktikan gerak kerja, pendekatan dan khidmat kepada masyarakat dinilai pengundi. Ia bukannya dinilai dari segi ideologi parti tapi kerja dan rekod pencapaian kita berkhidmat di kawasan,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendesak DAP membuat perubahan besar untuk mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), jika benar-benar mengharapkan sokongan orang Melayu melalui kerjasama dengan parti itu.

Beliau berkata, tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu selain daripada DAP menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ dalam Perlembagaan parti itu.

Katanya, orang Melayu hanya ada dua pilihan sama ada beralih sokongan secara menyeluruh kepada PAS atau menerima kembali Umno, justeru beliau meminta DAP membantu memulihkan Umno untuk kembali menjadi parti utama seperti sebelum 2018. – 2 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related