Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
JPN sudah hubungi Melissa, ‘dakwaan itu sedang diteliti, jangan sensasikan perkara ini’ | Scoop

JPN sudah hubungi Melissa, ‘dakwaan itu sedang diteliti, jangan sensasikan perkara ini’

Proses JPN sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan serta selari undang-undang, bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin

3:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengambil maklum mengenai kisah Melissa, iaitu wanita yang didakwa menghadapi kesukaran hidup kerana tidak mempunyai kad pengenalan seperti didedahkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Menerusi kenyataannya, JPN memaklumkan, pihaknya sudah menghubungi Melissa untuk mendapatkan fakta kes mengenai permohonan sebenar.

Katanya, penelitian sewajarnya berhubung isu dibangkitkan mengenai wanita berusia 21 tahun itu sedang dibuat.

“JPN juga mengambil maklum, di mana rentetan hantaran tersebut, perkara berkaitan permohonan kewarganegaraan menjadi perdebatan umum warga internet.

“JPN ingin memohon agar orang ramai tidak mensensasikan perkara ini dan seterusnya, memberikan tanggapan tidak benar kepada perkhidmatan kerajaan.

“Proses dilaksanakan JPN adalah sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan serta selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa, bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” katanya.

Selain itu, JPN mengingatkan orang ramai yang mempunyai masalah bukan sahaja mengenai kewarganegaraan, malah pelbagai perkhidmatan lain, seperti pendaftaran lewat kelahiran, masalah cap ibu jari, sijil pengangkatan anak angkat, prosedur perkahwinan bukan Islam dan lain-lain, boleh hadir terus ke mana-mana 212 pejabat jabatan ini di seluruh Malaysia untuk dibantu serta dibuat penelitian sewajarnya.

“Pemohon dinasihatkan hadir sendiri tanpa menggunakan khidmat ejen atau orang tengah, memandangkan setiap permohonan dan masalah individu mungkin memerlukan penyelesaian berbeza.

“Bagi mendapatkan informasi awal berkaitan perkhidmatan JPN, orang ramai boleh sentiasa merujuk portal dan media sosial rasmi jabatan ini yang sentiasa menyediakan maklumat terkini sebagai panduan,” katanya.

Melalui hantarannya itu, Syed Saddiq berkongsi cerita Melissa yang menghantar mesej kepadanya untuk berjumpa, bagi meluahkan ‘kisah sedih’ dilaluinya kerana tidak memiliki kad pengenalan, selain meluahkan keinginan memegang dokumen identiti diri berkenaan.

Ujarnya, gadis dilahirkan di Pulau Pinang berusia 21 tahun itu memaklumkan belum mempunyai kad pengenalan walaupun dilahir, dibesar dan dididik di Malaysia.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau percaya hingga ke hari ini negara masih mempunyai banyak kes seperti Melissa.

Menurutnya, di Muar sendiri terdapat pakcik dan makcik yang sudah hidup puluhan tahun di negara ini, malah sebelum kemerdekaan, namun masih tidak mempunyai kad pengenalan.

Lebih menyedih dan mengecewakan, katanya, golongan itu juga seperti warganegara yang mempunyai kad pengenalan, tetapi hak memiliki dokumen identiti diri berkenaan seolah-olah dinafikan.

Justeru, beliau akan mengutus surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu masih ramai individu yang dilahirkan di negara ini, tetapi tidak memiliki kad pengenalan.

Surat itu, katanya, bagi meminta supaya isu terbabit diberi perhatian, seterusnya membuatkan penantian golongan berkenaan untuk memegang kad pengenalan tidak sia-sia. – 2 September, 2023

Topics

 

Hangat

Related