MUAR – Proses kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai memasuki hari ketujuh dengan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar mula beralih arah dengan menggunakan media sosial sebagai antara medium bagi menarik sokongan pengundi.
Platform seperti aplikasi TikTok mula digunakan secara meluas oleh Zulkifli mulai Isnin lalu dengan memuat naik video yang mengandungi aktiviti kempennya kepada pengundi.
Selain video dan manifesto, usahawan kelahiran Tampoi itu turut berkongsi jadual kempen hariannya dalam bentuk poster menerusi TikTok rasminya iaitu, ‘zulkifli jaafar pulai’.
Antara video yang mendapat tontonan tertinggi yang dimuatnaik dalam TikToknya ialah program Walkabout Pasar Malam Taman Cempaka yang meraih lebih 15,00 tontonan dan mendapat 1,974 tanda suka.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penggunaan media sosial ini, pemerhati politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Amri Muhammad berkata, walaupun kempen tersebut dilihat berkesan kepada PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, namun ia masih lagi ada keterbatasannya.
Malah, katanya calon tidak boleh terlalu bergantung kepada kempen menerusi media sosial kerana ia sukar sampai kepada pengundi luar bandar dan veteran.
“Kempen di media sosial sesuai untuk golongan muda berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun dan mampu menarik pengundi muda bukan Melayu juga kerana informasi sampai kepada mereka dan kita lihat pada PRU lalu ia berkesan kepada mereka.
“Namun, kempen rumah ke rumah atau bersemuka serta ceramah perlu juga diteruskan kerana kebanyakan orang terutama pengundi veteran tidak kira apa kaum pun, masih lagi mengikut kempen secara begini,” katanya kepada Scoop, hari ini.
Dalam pada itu, Amri berkata, keseimbangan berkempen di media sosial serta bertemu orang ramai perlu dilakukan bagi memastikan tiada pengundi, khususnya golongan di atas pagar tidak terlepas daripada mendengar penerangan oleh calon bertanding.
“Di Parlimen Pulai, kalau kita lihat komposisi Melayu, Cina dan India agak seimbang. Jadi sukar untuk parti politik mendapai kemenangan jika hanya memberi tumpuan di media sosial. Setiap jentera perlu bekerja kuat.
“Lagipun, kalau fokus di media sosial, itu tidak menjamin kemenangan kerana terdapat calon ketika PRU lalu sokongannya di media sosial tinggi, namun mengalami kekalahan,” katanya. – 1 September, 2023