Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pantun Ahmad Maslan VS Steven Sim dipuji, ‘aura PH, BN semakin menyerlah, terbaik Kerajaan Perpaduan’ | Scoop

Pantun Ahmad Maslan VS Steven Sim dipuji, ‘aura PH, BN semakin menyerlah, terbaik Kerajaan Perpaduan’

Pengguna media sosial menyambut baik, tertarik dan terhibur dengan pendekatan pemimpin berkenaan, malah ada netizen memberikan komen berbentuk pantun sebagai reaksi kepada video terbabit

4:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – ‘Jual beli’ pantun antara Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim mengenai perpaduan bersempena Hari Kemerdekaan di TikTok hari ini, menarik perhatian pengguna platform itu apabila ia menerima lebih 7,600 tanda suka sejak dimuatnaik enam jam lalu.

Video berdurasi 1 minit 15 saat bertajuk Pantun Perpaduan Steven Sim VS Ahmad Maslan dikongsikan Steven di platform media sosial berkenaan, bermula dengan aksi bersahaja Ahli Parlimen Pontian itu yang ingin memberi pantun kepadanya.

@stevensimck Pantun Perpaduan Steven Sim Vs Ahmad Maslan 🤝 Selamat Hari Kebangsaan 🇲🇾 #tiktokmalaysia #penangjalanteruih #stevensim #merdekamalaysia🇲🇾 #mof #merdeka2023❤️🇲🇾 #kerajaanperpaduan #perpaduan #phbn #merdeka🇲🇾 ♬ 31 Ogos – Dato' Sudirman

“Fauzi, saya nak jual pantun kepada YB (Yang Berhormat) Steven Sim,” kata Ahmad Maslan kepada seorang pegawainya yang kemudian menyampaikan hasrat itu kepada Steven dan diterima baik.

“Baik, silakan,” kata Steven yang berada di meja kerja di bilik bersebelahan ketika itu.

“Encik Steven Sim mencari teduh,

Di dalam dewan, tinggi setingkat,

Sudah penat, lama bergaduh

Baik berkawan, menambah berkat,” kata Ahmad Maslan memulakan bicara pantun.

Tidak melenggahkan masa, Steven menjawab pantun itu dengan mengaitkan aktiviti memasak yang digemari Ahmad Maslan.

“Encik Ahmad menggoreng nasi

Bersama timun, ada serai

Berpadu kukuh ibarat besi

Elok simpul jangan terlerai,” katanya.

Kedua-dua pemimpin dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kemudian meninggalkan meja kerja masing-masing, sebelum bertemu di ruang luar bilik pejabat Kementerian Kewangan.

“Ada kiblat penunjuk arah

Ada dacing penentu timbang

Ada pengubat nusa yang parah

Ada peluang menamat bimbang,” sambung Ahmad Maslan sambil menerima pujian daripada Steven, ‘dasyat datuk’.

Enggan mengalah, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam kemudian sekali lagi membeli pantun Ahmad Maslan.

“Daripada dibiar jurai

Lebih baik diikat mati

Daripada membenih cerai

Lebih baik menanam bakti,”.

Mereka kemudian berjabat tangan sambil sama-sama melontarkan ‘Perpaduan, Selamat Hari Kebangsaan’.

Ahmad Maslan adalah pemimpin politik dari Barisan Nasional (BN) yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Steven pula pemimpin DAP.

Kedua-dua parti itu kita sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan (PH) yang bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu.

Sementara itu, menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial terbabit menyambut baik, tertarik dan terhibur dengan pendekatan dilakukan pemimpin berkenaan.

“Padu, dua-dua pandai berpantun, bait-bait kata pun indah,” kata Lelacantik77.

“Mantap dua-dua Timbalan Menteri Kewangan ini,” tulis harishuri.

“Aura PH, BN semakin menyerlah. Gandingan yang semakin padu dan harap dapat menerajui Malaysia ke tahap lebih mantap. Guna masa lima tahun ini untuk buktikannya,” puji yongck_2740.

“Terbaik, selamat hari Merdeka, semoga Malaysia sentiasa ke arah maju dan terus kegemilangan di peringkat dunia, we are Malaysian forever,” ujar tomjerry8468.

“Pihak pembangkang PN dengar tu jangan ambil isu nak buat gaduh sahaja. Inilah Tekad perpaduan Malaysia Madani Penuh Harapan (tema Hari Kebangsaan 2023),” kata seorang pengguna.

“Hahaha this is cute (comel),” komen pengguna lain.

“Perpaduan yang tak pernah ku bayangkan sekarang menjadi reality, semoga terus bersama demi Malaysia,” kata JAQ.

“Siapa sangka dulu seteru, kini sekapal, semua dengan izin Allah #malaysiamadani,” respon Faizura.

Lebih menarik, ada netizen yang memberikan komen dalam bentuk pantun sebagai reaksi kepada video terbabit.

“Ada TV (televisyen) kita tonton, ada buku kita baca, dua Menteri saling berpantun, kukuhkan perpaduan antara kita,” ujar Amaludin.

“Sungguh cantik si rama-rama, terbang berkawan penuh gembira, demi bangsa demi agama, ayuh berpadu majukan negara,” kata musbiha. – 31 Ogos 2023

Topics

 

Hangat

Related