MUAR — Penduduk di Simpang Jeram, di sini, berharap wakil rakyat yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi destinasi pelancongan utama, bukan tempat yang hanya dilawati pada hujung minggu sahaja.
Menurut seorang peniaga di situ, Pong Kim Hwee, 57, bagi tujuan itu, satu perancangan khusus perlu dilaksanakan bagi memastikan mukim berkenaan menjadi tarikan pelancong, sama seperti Melaka.
“Mesti dicari inisiatif untuk bangunkan Simpang Jeram supaya memberi impak kepada peniaga dan dalam masa sama, meningkatkan ekonomi mereka. Kekurangan pengunjung juga mesti diatasi.
“Saya lihat tempat ini hanya dikunjungi pada hari minggu sehingga menyebabkan peniaga di sini memperoleh pendapatan pada tempoh itu sahaja. Kena cari jalan bagaimana untuk menarik orang ramai datang ke Simpang Jeram berbanding hanya fokus untuk menetap di pekan Muar,” katanya ketika ditemui Scoop, hari ini.
Sementara Fook Siew Lei, 45, pula mahu kemudahan infrastruktur jalan raya termasuk jalan alternatif ditambah baik bagi kemudahan pelancong.
“Apabila infrastruktur bertambah baik, jumlah pelancong juga pasti bertambah sekali gus memberi impak kepada masyarakat setempat.
“Penduduk Simpang Jeram pasti mendapat manfaat dengan peningkatan pendapatan yang lebih baik, berbanding sebelum ini,” katanya yang juga seorang peniaga.
Sementara itu, peniaga makanan, Hassan Abdullah, 48, pula mahukan wakil rakyat yang mudah dihubungi dan sentiasa berada di kawasan, bukan yang hanya ‘singgah’ secara bermusim sehingga tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat.
Jelasnya, penduduk mahu seorang wakil rakyat yang mampu menjadi jambatan penghubung antara rakyat serta kerajaan di samping calon yang hanya yang hanya gah di media sosial tetapi gagal membantu masyarakat setempat.
“Kalau setiap kali ada aduan sebelum ini, yang datang hanyalah pegawai khas atau wakil sahaja. Rakyat mahukan Adun yang mudah didekati. Itu harapan kita di Simpang Jeram.
“Ini kerana beliau menjadi rujukan kepada rakyat setiap kali ada sebarang masalah. Kita tidak mahu pemimpin yang hanya mampu ‘main wayang’ dan ‘bertiktok’ sahaja. Kita mahu pemimpin yang boleh membantu,” katanya.
PRK DUN Simpang Renggam dan Parlimen Pulai akan diadakan pada 9 September ini susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub. – 1 September, 2023.