Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
NRECC kemuka surat cegah pembakaran terbuka syarikat perladangan Malaysia di Indonesia | Scoop

NRECC kemuka surat cegah pembakaran terbuka syarikat perladangan Malaysia di Indonesia

Usaha berkaitan juga akan diteruskan bersama Kementerian Luar melalui pejabat perwakilan di Indonesia

3:18 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah mengemukakan surat berkaitan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan ladang kepada syarikat perladangan, anak syarikat serta syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di Indonesia.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata surat itu bertujuan mengingatkan syarikat berkenaan supaya memastikan langkah pencegahan diambil bagi mengelak berlakunya kebakaran ladang dan hutan gambut yang menjadi punca utama jerebu merentas sempadan di rantau ini.

Beliau dalam satu kenyataan berkaitan langkah pencegahan pembakaran terbuka dan jerebu merentas sempadan yang dikeluarkan hari ini, berkata usaha berkaitan juga akan diteruskan bersama Kementerian Luar melalui pejabat perwakilan di Indonesia.

Katanya langkah lain yang diambil kerajaan ialah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan pada 2 April lepas, mempertingkatkan kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron di kawasan berisiko dan mudah terbakar, selain pemantauan berterusan status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Orang awam juga dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis diceroboh pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja,” katanya.

Katanya mengikut rekod JAS bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Ogos lepas, sebanyak 57 kompaun telah dikeluarkan dengan dua kes dikenakan tindakan mahkamah di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut Nik Nazmi langkah pencegahan itu perlu dilaksanakan kerana negara akan mengalami taburan hujan yang kurang dan cuaca lebih panas serta kering ekoran Monsun Barat Daya yang bermula pada 15 Mei lepas dan dijangka berterusan hingga September ini.

“Kebiasaannya negara akan mula mengalami cuaca panas yang ketara sekitar Ogos hingga September setiap tahun dan kejadian pembakaran terbuka berpotensi berlaku di kawasan yang mudah serta sering terbakar seperti di kawasan hutan dan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah,” katanya.

Pada 9 Mei lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran berhubung fenomena Monsun Barat Daya yang turut menyebabkan angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil, yang menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh tersebut.

Mengenai Sistem Penilaian Bahaya Kebakaran (FDRS) yang diguna pakai negara ASEAN sejak 2003, Nik Nazmi berkata sistem itu telah ditambah baik oleh MetMalaysia, melibatkan penambahan elemen baharu iaitu ramalan kebakaran tujuh hari ke hadapan bagi memantau potensi berlakunya kebakaran dan intensitinya.

Menurut laman sesawang MetMalaysia, FDRS ialah sistem yang memantau risiko kebakaran hutan atau tumbuhan dan membekalkan maklumat tersebut dalam pengurusan kebakaran.

Produk dalam FDRS boleh diguna pakai oleh pembuat polisi sebagai panduan untuk menjangka kelakuan atau sifat api kebakaran dalam mewujudkan tindakan untuk melindungi nyawa, alam sekitar dan harta benda. – 30 Ogos,2023

Topics

 

Hangat

Related