KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook dikenali Iman Mustaqim disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, individu terbabit memuat naik hantaran berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Sultan Selangor.
Katanya, hantaran berkenaan dimuatnaik melalui platform media sosial itu pada kelmarin.
“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) melalui Bahagian D5 JSJ di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan.
Shuhaily berkata, kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat salah, sehingga mengganggu proses siasatan.
“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial bijak dan berhemah.
“Mereka digesa elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutama membabitkan isu 3R (kaum, agama, institusi diraja),” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial kenyataan biadap dikeluarkan Iman Mustaqim yang memperlekeh dan menghina Sultan Selangor.
Hantaran itu kemudian mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengecamnya dengan menyifatkan ia sangat kurang ajar dan melampau, manakala segelintir membuat pautan menerusi tanda pagar di akaun Facebook berkenaan kepada PDRM. – 30 Ogos 2023