MUAR – Polis mengesahkan sedang menyiasat kenyataan yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung ceramahnya yang dipercayai menyentuh isu 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja) di Bakri, di Johor pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia susulan kenyataan Hadi dipercayai mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan yang mempunyai kaitan dengan Institusi Diraja.
Menurut beliau, siasatan terperinci masih dilakukan namun pihaknya tidak dapat memberi kepastian bilakah Ahli Parlimen Marang itu akan dipanggil oleh pihak berkuasa.
“(Hadi dipanggil)… saya tak pasti nak menjawab (namun) mungkin kita boleh lihat pada kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa akan dipanggil. Belum atau tidak…itu tidak dapat saya pastikan lagi.
“Walaupun kejadian di sini namun laporan telah dibuat di Kuala Lumpur. Polis Johor akan membantu membuat siasatan,” katanya pada sidang media di Dewan Perumahan PDRM, hari ini.
Kamarul sebelum ini turut mengesahkan bahawa siasatan terhadap Hadi sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Jika disabitkan kesalahan, jelasnya, Hadi boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duannya.
Dua hari lalu, Abdul Hadi dalam ceramahnya dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.
Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman dilapor berkata, pihaknya dihubungi Bukit Aman pagi tadi untuk mendapatkan keterangan daripada Hadi.
Syahir berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Hadi dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis. – 29 Ogos, 2023