Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Golongan B40 baharu nak mula niaga perlu diberikan latihan, barulah beri pinjaman: Pengerusi Mafta | Scoop

Golongan B40 baharu nak mula niaga perlu diberikan latihan, barulah beri pinjaman: Pengerusi Mafta

‘Teliti sejauh mana kemahiran dimiliki. Jika semakin bagus, tiada masalah untuk pembiayaannya ditambah’: Pengerusi Mafta

1:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kerajaan digesa menyalurkan bantuan kewangan program kewangan sosial iTekad kepada golongan peniaga sedia ada, bukan memberikannya kepada golongan B40 untuk ‘dikerah’ menjadi usahawan.

Pengerusi Persatuan Food Truck Malaysia (Mafta), Datuk Mohamad Zaini Md Taha berkata, ini kerana perniagaan bukan jalan singkat untuk meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah sebaliknya ia adalah bidang eksklusif yang memerlukan kecekalan serta daya tahan tinggi.

“Bagi golongan B40, perlu diberi latihan atau kemahiran terlebih dahulu, barulah kerajaan beri pinjaman kewangan untuk perniagaan kepada mereka. Pada masa sama, jangan beri pembiayaan ikut kemahuan mereka, namun teliti sejauh mana kemahiran dimiliki. Jika semakin bagus, tiada masalah untuk pembiayaannya ditambah.

“Mereka yang baharu mula nak berniaga ini, keperluan ada mentor atau ‘leader’. Walaupun tiada kemahiran atau pengalaman tapi ada individu yang boleh bantu mengembangkan perniagaannya. Kita takut kalau golongan B40 terus diberi bantuan kewangan, ia akan disalah guna dan akan habis begitu sahaja untuk perkara lain namun untuk peniaga sedia ada tambah modal pusingan, itu tiada masalah,” katanya ketika dihubungi Scoop, hari ini.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya golongan B40.

Beliau berkata, ini akan menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman pula menyambut baik pengumuman Perdana Menteri kerana ia dapat membantu PMKS bangkit semula selepas COVID-19.

“Satu usaha yang baik daripada Perdana Menteri yang banyak membantu golongan peniaga kecil. Kalau dilihat pemimpin sebelumnya, mereka tidak fokuskan kepada golongan ini. Anwar dilihat  memastikan kekayaan diagihkan dengan adil agar golongan B40 dapat merasai kenikmatan.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana beliau melihat keperluan masyarakat peniaga B40. Mereka memerlukannya kerana kita lihat selepas pandemik sudah beberapa tahun, mereka kehabisan modal untuk bergerak, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi mereka,” katanya. – 23 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related