KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memulangkan semula dua buku yang diambil dari sebuah kedai buku milik penulis Benz Ali di Wisma Central, di sini sekiranya penyelidikan dan semakan mendapati isi kandungannya tidak menjejaskan ketenteraman awam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya bukan melakukan rampasan seluruh kedai sebaliknya hanya mengambil dua buku berjudul Marx Sang Pendidik Revolusioner tulisan Robin Small dan Koleksi Puisi Masturbasi tulisan Benz Ali sendiri.
“Istilah lebih tepat kami (KDN) pergi ambil dua buku sahaja bukan satu kedai
“Rampasan ini (seperti) konotasi satu kedai diambil, cerita dia dua naskhah buku sahaja, itu pun bertindak atas aduan awam, buku karl marx dan buku mastubasi, jadi pegawai kita bertindak atas aduan, pergilah.
“Mengikut akta ini (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984) tujuannya untuk dilakukan penyelidikan, semakan, penelitian.
“Kalau isi kandungannya itu bertentangan dengan aspek yang telahpun diperuntukkan dalam undang-undang tersebut,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulan KDN di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, dua buku terbabit juga akan dipulangkan selepas siasatan mendapati tidak berlaku pelanggaran akta dalam isi kandungannya.
“Jadi bila tindakan mengambil dua naskhah buku itu, mengundang tidak puas hari tuan kedai jadi beritanya itu seolah-olah pihak berkuasa datang merampas.
“Dua buku je, tujuan untuk selidik, kalau hasil penyelidikan nanti tunjukkan tidak ada apa-apa isi kandungannya yang menjejaskan ketenteraman ke, menimbulkan ketidakselesaan awam, kita bagi balik kat dia.
“Malah dari segi undang-undang membenarkan penguat kuasa untuk ambil,” katanya.
Terdahulu Benz Ali atau nama penuhnya Amir Hamzah Akal Ali kecewa apabila KDN pada 18 Ogos lalu menyerbu kedainya di Wisma Central, Kuala Lumpur dan merampas dua buku tersebut.
Jelasnya, buku tersebut tidak seharusnya dirampas susulan tidak tersenarai dalam senarai buku yang dilarang untuk dijual.
Sementara Naib Ketua PKR Cabang Batu, Rozan Azen Mat Rasip pada sidang media semalam memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Benz Ali selepas mendakwa beliau difitnah individu terbabit berhubung isu rampasan buku itu. – 22 Ogos, 2023