Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tidak berdosa atau dianggap tolak perjuangan agama jika tidak sokong parti Islam: Mufti Pulau Pinang | Scoop

Tidak berdosa atau dianggap tolak perjuangan agama jika tidak sokong parti Islam: Mufti Pulau Pinang

Wan Salim berkata, mana-mana individu atau kumpulan boleh mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi dakwaan itu mestilah dibuktikan dengan jelas dalam realiti kehidupan.

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seseorang tidak dianggap berdosa atau menjadi kafir sekiranya tidak menyokong parti yang mendakwa perjuangannya berlandaskan Islam atau memilih mengundi parti lain.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia kerana parti Islam adalah rekayasa, iaitu budaya manusia dan tidak bersifat suci atau sakral, justeru tidak mengikat seorang Muslim.

“Perlu dibezakan di antara Islam dan parti Islam. Islam adalah satu misi suci bersumberkan wahyu Ilahi. Setiap Muslim wajib terikat dengan agamanya (Islam) di sudut akidah (kepercayaan), mahupun amalan dengan mematuhi segala hukum ditetapkan di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.

“Manakala parti Islam pula hanyalah ciptaan manusia sebagai sebuah wadah untuk memperjuangkan Islam atau melaksanakan segala ajarannya menerusi pentadbiran negara,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, hanya sikap taksub yang mendorong seseorang untuk menyamakan rekayasa manusia dengan ciptaan Ilahi.

Malah, katanya, perlu diingatkan Islam tidak akan tertegak dengan slogan semata-mata, sebaliknya ditegakkan dengan amalan di dalam kehidupan rakyat yang sejahtera dan berkebajikan, di samping pentadbiran negara baik, bersih serta cekap.

Wan Salim berkata, mana-mana individu atau kumpulan boleh mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi dakwaan itu mestilah dibuktikan dengan jelas dalam realiti kehidupan.

“Sebaliknya Islam boleh ditegakkan secara bijaksana tanpa mencanangkannya kepada umum seperti melaksanakan keadilan sosial, meratakan kebajikan, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah dan maksiat dan seterusnya.

“Yang penting adalah segala ajaran Islam dihayati di dalam urus tadbir negara dan kehidupan warganya dengan baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, mencanangkan perjuangan untuk menegakkan Islam mungkin kurang bijaksana.

“Yang penting umat Islam mempraktikkan ajaran Islam di dalam diri masing-masing, maka secara automatiknya Islam akan tertegak di dalam negara!” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika menyampaikan kuliah Jumaat minggu lalu, dilapor mengeluarkan kenyataan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di negeri berkenaan, menolak perjuangan Islam,

“Alhamdulillah orang muda bersemangat… Orang tua tu sokmo (sentiasa) dah sokong perjuangan Islam. (Ini) orang muda sokong, alhamdulillah sehingga tinggal dua kerusi (pembangkang).

“Tak apa lah takut orang nak tengok hak lawan perjuangan Islam macam mana,” katanya dalam video berdurasi 44 saat itu. – 22 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related