Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Cukuplah berpolitik, rakyat dan beta sudah penat dengar…: Sultan Selangor | Scoop

Cukuplah berpolitik, rakyat dan beta sudah penat dengar…: Sultan Selangor

Baginda bertitah, sudah tiba masanya wakil rakyat menghentikan segala agenda politik dan berusaha membangunkan Selangor kerana negeri berkenaan, mula ketinggalan dari segi pelaburan serta nilai eksport barangan

5:42 PM MYT

 

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kesal dengan insiden penggunaan kata-kata kesat dan biadap membabitkan ahli dan pemimpin politik, termasuk ketika berkempen, sehingga mengheret institusi raja dalam ceramah mereka.

Justeru, baginda mengingatkan golongan itu supaya memelihara adab dan tatasusila meskipun berbeza fahaman serta haluan politik.

“Beta ingin menyentuh mengenai insiden melibatkan penggunaan kata-kata kesat dan biadap dilemparkan segolongan kelompok masyarakat, ahli politik, (selain) tidak ketinggalan segelintir pemimpin parti politik ketika berkempen.

“Keadaan berlaku ini menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terhadap institusi raja serta Kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan lain-lain bangsa,” titahnya selepas menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Selangor (Exco) di Balairung Seri Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Selangor (Exco) hari ini – Gambar ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar, 21 Ogos, 2023

Titahnya, sikap biadap mereka ini sudah melangkaui batas dan nilai keperibadian orang Islam serta Melayu yang sering dipelihara.

“Ingatlah jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular dalam kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru semua pihak agar menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat, sebaliknya menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara

“Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai. Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah baginda.

Baginda turut menyeru kepada orang Melayu Islam di Selangor agar sentiasa mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat, selain berisiko membawa imej buruk kepada kesucian Islam. 

“Beta perhatikan, politik telah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit. Cukuplah apa yang berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir,” titahnya.

Dalam pada itu, baginda bertitah, sudah tiba masanya untuk wakil rakyat menghentikan segala agenda politik dan berusaha membangunkan Selangor kerana negeri berkenaan ketika ini, mula ketinggalan dari segi pelaburan serta nilai eksport barangan jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Kerajaan Selangor, titahnya, perlu menitikberatkan keperluan asas rakyat, pemulihan ekonomi dan kos sara hidup agar mereka tidak terus dibebani dengan kemelut kemelesetan ekonomi mencabar.

“Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya. Ahli Yang Berhormat perlu sedar dengan fakta dan realiti ini, satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ia daripada terus menjejaskan reputasi Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia. Rancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan.

“Cukuplah berpolitik, rakyat dan beta sudah penat dengar. Jadikan negeri ini hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangannya tidak berapa lama dahulu.

“Usia Beta sudah menjangkau 78 tahun pada tahun ini dan adalah menjadi harapan serta impian, agar sebelum Beta menutup mata dan dijemput Ilahi, Beta dapat melihat Selangor bangkit semula, maju ke hadapan dari segenap sudut, yakni pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi mampan, perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa, di mana rakyatnya hidup dalam keadaan selesa kemakmuran berpanjangan,” titahnya. – 21 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related